Timbalan Ketua Menteri wajar jadi jurucakap rasmi kerajaan
KOTA KINABALU - Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain berpendapat Timbalan Ketua Menteri adalah individu yang paling wajar untuk menggalas tugas Ketua Menteri dan menjadi jurucakap rasmi kepada rakyat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung pelantikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dilantik sebagai jurucakap rasmi untuk perkembangan terkini pandemik koronavirus (Covid-19).
"Saya bukannya menidakkan pengalaman dan kebijaksanaan Masidi untuk menggalas tugas itu namun kerajaan negeri ini berorganisasi.
"Ada yang memegang portfolio tertentu yang harus dihormati agar mereka dapat berfungsi dengan baik. Misalnya, ada yang jaga belia, jaga belia dan ada juga yang jaga kesihatan, jaga kesihatan dan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah Abdul Aziz lagi, umum mengetahui bahawa hirarki pentadbiran kerajaan negeri mempunyai tiga Timbalan Ketua Menteri yang seharusnya menjaga pentadbiran negeri sepanjang ketiadaan Ketua Menteri.
"Namun, ia tidak berlaku dan saya fikir harus diperbetulkan andainya kita terkhilaf tentang fungsi dan peranan masing-masing.
"Atas maksud itu saya berpendapat bahawa Timbalan Ketua Menteri adalah orang yang paling wajar untuk menggalas tugas-tugas Ketua Menteri dan menjadi jurucakap rasmi kepada rakyat.
"Selain daripada Timbalan Ketua Menteri, menteri yang bertanggungjawab dengan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat juga sesuai untuk bercakap berhubung Covid-19 memandangkan portfolio kesihatan berada di bawah kementerian itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, siapa pun yang dilantik menjadi jurucakap bukan isu atau masalah yang besar.
"Namun, biarlah ia mengikut hirarki dan fungsi pentadbiran yang perlu dihormati sepanjang lima tahun yang akan datang.
"Kita baru sahaja bermula dan seharusnya biarlah permulaan itu bermula dengan baik, teratur dan wajar mengikut peranan dan tanggungjawab masing-masing agar setiap menteri tidak keliru akan peranan dan tanggungjawabnya.
"Rakyat juga sedang mengharapkan sebuah kerajaan yang fokus, tidak keliru dan tahu hala tuju untuk membangun negara ini," katanya.
Terdahulu, Abdul Aziz berkata, beliau sebenarnya kurang gemar untuk mengkritik kerajaan Sabah yang baru ditubuhkan itu namun sebagai sebahagian jentera yang membantu mendirikan kerajaan hari ini, beliau tidak boleh memilih untuk berdiam diri.
"Rakyat Sabah, siapa pun dia, layak untuk menegur atau mengkritik sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang, sekiranya kerajaan pada hari ini melakukan kesilapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!