Perjuangan yang ditinggalkan
PERJUANGAN itu adalah suatu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang dianggap penting dan mulia. Lazimnya, sesuatu itu diperjuangkan kerana si pelakunya berasakan apa yang ingin dikejarnya itu adalah matlamat yang amat sukar dicapai.
Berjuang boleh dilakukan seorang diri atas matlamat peribadi. Seseorang itu berjuang untuk lulus peperiksaan, keluar daripada garis kemiskinan, membela di atas kematian orang yang disayangi mahupun merebut hati gadis yang dicintai.
Namun, perjuangan yang besar biasanya dikaitkan dengan sekumpulan manusia, kaum, suku atau bangsa untuk memperoleh sesuatu atau membebaskan kumpulan daripada sesuatu. Ia adalah suatu usaha yang dianggap murni oleh kumpulan berkenaan.
Perjuangan menentang kezaliman, ketidakadilan, antirasuah, antiharga barang naik, mendapat hak kebebasan atau berkahwin sesama sejenis adalah perjuangan yang dianggap baik mahupun bermoral mengikut kaca mata kumpulan yang memperjuangkannya.
Namun, dalam perjuangan yang berkumpulan, mesti ada pemimpin. Mesti juga ada pengikut. Tugas pemimpin adalah membawa kumpulan mencapai matlamat. Tugas pengikut adalah menyokong apa yang dibawa pemimpin dalam apa juga keadaan.
Dalam berjuang, semua anggotanya tahu matlamatnya. Mereka akan sama-sama berjuang untuk mencapai matlamat tersebut. Disiplin adalah inti kepada perjuangan. Kesetiaan tanpa perasaan berbelah bahagi dengan keseragaman tindakan ‘sami’na waatokna’ akan menjamin perjuangan itu diharungi dengan penuh kesetiaan, malah hingga ke peringkat ketaksuban.
Bagaimanapun, kita biasa dengar dan tahu betapa terdapat perjuangan yang menyeleweng daripada matlamat asal kerana mempunyai pemimpin yang sudah melelong dari segi nawaitu. Ia bisa terjadi apabila sesebuah perjuangan itu telah mencapai matlamat.
Yang memimpin lazimnya berada di hadapan atau di tempat yang paling atas. Dia yang nampak dahulu daripada para pengikutnya. Justeru, dia berpeluang untuk mengecap habuan kejayaan sesebuah perjuangan.
Ia akan menjadikan pemimpin sesebuah perjuangan itu berubah pendirian daripada individu yang menjadi contoh baik kepada pengikutnya kepada individu yang mempunyai peribadi yang jelik. Malangnya, oleh sebab aura kebaikannya masih belum hilang, pengikut menjadi malu alah untuk menegur keburukannya.
Kita dapat lihat banyak sekali perjuangan pada hari ini yang pada asalnya begitu murni dan ideal matlamat perjuangannya kerana ia dipimpin oleh mereka yang menyeleweng daripada matlamat asal. Mereka yang korup idealisme pula mendidik pengikutnya untuk mempunyai perangai yang serupa sepertinya dengan cara membeli jiwa mereka dengan material.
Pemimpin dan pengikutnya akan perlahan-lahan meruntuhkan seluruh organisasi mereka dari dalam.
Dari kaca mata luar masih tampak kuat, teguh dan gagah tetapi sebenarnya organisasi itu sedang rosak kerana pucuk serta akarnya sudah mereput dan menanti masa untuk rebah serta ditelan bumi.
Organisasi yang begitu lemah kerana tiada lagi disirami cahaya idealisme perjuangan sebagai bajanya akan diganti oleh organisasi lain yang akan tumbuh membesar.
Sekiranya organisasi itu turut tidak berpegang kepada matlamat perjuangan, ia juga akan menerima nasib yang sama.
Persoalannya di sini, kedua-duanya sama ada pemimpin mahupun pengikut akan disoal dan dipertanggungjawabkan apabila sampai waktunya akibat meninggalkan perjuangan.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!