Kerajaan tidak stabil, rakyat merana
SEJARAH mencatatkan bahawa kestabilan kerajaan adalah asas kepada kemajuan sesebuah bangsa. Ia juga adalah teras tunjang yang menjadikan sesebuah bangsa itu hidup makmur, tenteram dan aman. Ia membolehkan setiap entiti dan individu dalam sesebuah negara fokus kepada peranan untuk membangunkan diri dan negara dari satu peringkat kepada satu peringkat yang lebih baik.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC), Lee Heng Guie ada menyatakan bahawa kestabilan politik adalah kunci kestabilan dan pertumbuhan ekonomi makro di tengah-tengah pandemik koronavirus (Covid-19) dan juga kemelesetan ekonomi.
Kestabilan kerajaan pula ditentukan oleh kestabilan politik. Kekukuhannya akan menjamin kesinambungan pemerintahan dan polisi yang bersifat berterusan, mementingkan manfaat menyeluruh serta bersifat jangka panjang.
Penulis pernah berkongsi di media sosial mengenai kerjaya lama dalam bidang akademik dan industri kewangan Islam. Maka, tidak janggal untuk penulis kongsikan bahawa dua konsep terpenting dalam ilmu ‘perakaunan dan kewangan’ yang boleh dimanfaatkan bagi memastikan kemakmuran kehidupan rakyat adalah continuity (kesinambungan) dan perpetuity (kekekalan).
Konsep continuity membolehkan satu-satu polisi yang dibuat oleh sesebuah kerajaan adalah bersifat jangka panjang dan tidak terhenti apabila berlakunya sesuatu perkara di luar jangka. Begitu juga dengan konsep perpetuity di mana tindakan dan rancangan yang dibuat oleh kerajaan adalah bagi jangka masa yang panjang serta terlaksana.
Kecacatan pada salah satu atau kedua-dua konsep tersebut akan menyebabkan sesebuah kerajaan kelihatan sementara, tidak kukuh dan tidak stabil. Ketidakstabilan itu menyebabkan rakyat menjadi hilang arah tuju, ternanti-nanti dan tertanya-tanya serta hilang tempat bergantung.
Lebih parah apabila keadaan tersebut dilemahkan lagi dengan momokan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai rampasan kuasa, penggulingan mahupun peralihan kuasa.
Situasi yang sentiasa hangat di tengah-tengah pandemik yang masih belum berakhir terutama apabila datangnya ‘keagresifan’ daripada pihak-pihak yang teruja dengan kuasa, kembali menyebabkan kekalutan kepada negara.
Gelombang
Situasi di mana rata-rata rakyat dan semua mahu memastikan kita kekal floating (terapung) dalam menghadapi gelombang Covid-19 dan ribut kemelesetan ekonomi yang kita belum lagi mengetahui di mana hujungnya.
Tiba-tiba muncul beberapa insan yang mencuba mengetepikan nakhoda, bahkan ada yang menebuk kapal dengan harapan bakal beroleh kapal baharu dan berlayar dengan teguh. Ia tidak memberi manfaat, apa lagi untuk membantu bersama-sama menghadapi situasi berkenaan secara seia sekata sehati sejiwa.
Jika dalam situasi biasa, ketidakstabilan politik telah menyebabkan rakyat merana, maka lebih-lebih lagi dalam situasi semasa dengan gelombong ketiga serangan Covid-19 telah menjadi isu utama negara.
Cabaran kehidupan rakyat bertambah mencabar dengan keputusan pihak kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor bermula hari ini tepat pada jam 12.01 tengah malam tadi sehingga 27 Oktober 2020
Cubaan untuk menggelorakan iklim politik ketika ini adalah cubaan untuk mensabotaj rakyat tanpa ada rasa peduli dan bertanggungjawab. Penulis berasa sungguh ralat, apakah kesengsaraan dan kepayahan rakyat di bawah tidak langsung dipertimbangkan dalam kegilaan merebut kuasa itu?
Kita kena ingat beberapa pesanan daripada ulama-ulama Islam terdahulu mengenai kepentingan mengekalkan kestabilan pemerintahan, antaranya pesanan Imam Nawawi bahawa maksud utama dalam hal pentadbiran negara adalah agar wujud kesatuan dan perpaduan dalam masyarakat Islam. Fitnah dan cubaan rampasan kuasa adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan mengganggu gugat kestabilan negara.
Al-Syarbini pula menambah bahawa yang dimaksudkan kesatuan kalimah dan maksud itu tidak tercapai melainkan dengan kewajipan taat. Jadi, kerana itu ketaatan kepada pemerintah adalah penting bagi memastikan kestabilan kerajaan. Dengan stabilnya kerajaan maka kebajikan rakyat akan terus terjamin.
* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!