Tangan hilang digigit anjing serigala
MICHIGAN - Seorang kanak-kanak perempuan kehilangan tangan kanan selepas digigit anjing serigala ketika memasukkan tangannya ke dalam sebuah sangkar di pusat jagaan haiwan di sini.
Ketika kejadian Sophia Scraver, 2, dipercayai memasukkan tangan kanan untuk memberi haiwan itu makan di pusat penjagaan haiwan milik neneknya.
Penyiasat berkata, seorang kakitangan sukarela yang kebetulan berada di lokasi sempat menyelamatkannya selepas cuba mengeluarkan tangan Sophia dari kandang itu.
Akibatnya, tangan kanan Sophia terpaksa dipotong sehingga siku selepas mengalami kecederaan parah akibat digigit haiwan itu.
Nenek Sophia, Brenda Pearson menafikan anjing serigala menyerang cucunya dan sebaliknya mendakwa tangan Sophia tersekat dalam sangkar.
Menurut kenyataan Jabatan Sumber Alam Sekitar Michigan, pusat jagaan haiwan itu beroperasi secara haram.
"Semasa serbuan Jumaat lalu, pegawai berjaya memindahkan enam ekor musang merah, tiga koyote, empat kotak berisi kura-kura dan dua anak rusa.
"Hidupan liar bukan berasal dari sini masih ada di lokasi termasuk 47 anjing serigala," katanya.
Keluarga Sophia kini memohon bantuan untuk membiayai lengan tiruannya itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!