Ketepikan budaya ‘politiking’
SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu semua pemimpin parti politik di negara ini mengetepikan budaya ‘politiking’ ketika negara dan rakyat sedang berdepan dengan kemelut pandemik koronavirus (Covid-19) dan krisis ekonomi sekarang.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tumpuan seharusnya diberikan untuk menyelamatkan negara dan rakyat pada saat getir semasa negara merekodkan peningkatan kes penularan wabak itu sekarang.
“Waktu ini kerajaan sepatutnya fokus untuk tangani ancaman wabak ini dan pulihkan semula ekonomi.
“Ia hanya boleh dicapai dengan mengurangkan atau mengetepikan ‘politiking’," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai menyokong gesaan Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dalam ciapan di Twitter beliau yang meminta pemimpin parti politik mengetepikan persengketaan dan perbezaan sebaliknya bergabung dan bekerjasama untuk fokus menyelamatkan negara dan rakyat daripada kemelut wabak dan ekonomi yang sedang melanda.
Berikutan itu, Lam Thye meminta semua pemimpin politik supaya memikirkan bagaimana mereka boleh bekerjasama antara satu sama lain demi manfaat negara dan rakyat.
Saranan itu turut dipersetujui Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan.
Beliau berkata, teguran atau nasihat yang dilontarkan Hussamuddin tepat pada masanya dan ahli-ahli politik perlu segera mengambil tindakan sewajarnya.
“Semua rakyat khususnya kepimpinan politik ketika ini sepatutnya mengutamakan usaha membanteras Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.
“Lupakanlah soal perebutan kuasa kerana tumpuan perlu diberikan kepada isu yang berkaitan kepentingan rakyat,” katanya.
Bagi menggembleng tenaga semua pemimpin parti, beliau mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa bertindak khas (melepasi sempadan politik) diwujudkan di peringkat daerah, negeri dan negara untuk menangani, memantau tindakan dalam menangani penularan Covid-19.
“Ia juga menyokong usaha pemulihan ekonomi di daerah, negeri dan wilayah masing-masing serta untuk seluruh negara ini,” katanya.
Sementara itu, senada dengan Hussamuddin ialah Setiausaha Agung Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh yang menganggap ancaman Covid-19 telah memberi impak negatif terhadap ekonomi negara dan dunia hingga rakyat risau memikirkan kesejahteraan masa depan mereka.
“Tapi kami tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Kami sarankan agar kesemua ahli politik bekerjasama dalam usaha membangunkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.
“Ahli politik perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dan menonjolkan sifat kepimpinan yang amat diperlukan sekarang,” katanya.
Tegas beliau, kemelut politik hanya akan menyebabkan ketidakstabilan negara dan situasi itu adalah sesuatu yang harus dielakkan.
“Kita juga harus ingat bahawa pelabur asing sedang memerhatikan keadaan politik semasa.
“Jika keadaan tidak stabil pelabur asing tidak teragak-agak untuk meninggalkan pasaran kita. Ini akan merugikan negara,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, sekarang adalah masa untuk kesemua parti politik bersatu menangani Covid-19 sekali gus melakukan gencatan politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!