Rezeki pokok keladi hiasan tular
ALOR SETAR - Sejak akhir-akhir ini, permintaan terhadap pokok keladi semakin meningkat disebabkan kuasa tular media sosial yang menyaksikan harganya kini mampu mencecah sehingga RM1,000.
Pokok keladi tersebut menjadi lebih menarik dan cantik apabila dimasukkan ke dalam pasu hiasan. Sambutan yang memberangsangkan itu menyebabkan pengusaha nurseri tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan peminat pokok tersebut.
Pemilik AB Nursery, Habibah Yusuf, 52, yang mengusahakan kedai tanaman pokok hiasan dan landskap di Anak Bukit di sini berkata, permintaan tinggi terhadap pokok keladi itu bermula sejak Jun lalu.
Menurutnya, setiap hari pasti ada pengunjung yang datang mencari pokok keladi di nurserinya sehingga menyebabkan dia terpaksa membuat pesanan sebanyak dua kali seminggu kepada pengusaha di Johor.
"Disebabkan permintaan cukup tinggi, pengusaha di Johor juga gagal menghantar permintaan yang dipesan. Jika bekalan pokok keladi sampai di nurseri ini, tak sampai beberapa hari pasti ada pengunjung yang akan membelinya.
"Keadaan ini juga berlaku di media sosial kerana ada pelanggan yang membuat pesanan lebih awal secara dalam talian.
"Selain mendapatkan bekalan di Johor, kami juga menyemai lebih 50 jenis keladi yang tular secara kecil-kecilan bagi menampung permintaan yang tinggi," katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.
Selain itu, Habibah berkata, beliau turut berusaha mencari pokok induk keladi di merata tempat termasuk membelinya secara dalam talian.
Menurutnya, pokok keladi yang paling menjadi tumpuan pelanggan ketika ini adalah jenis telinga gajah atau nama saintifiknya, Anthurium.
"Saya pernah dipujuk berkali-kali oleh pembeli untuk membeli pokok tersebut, namun saya tolak dengan baik kerana mahu menjadikannya sebagai pokok induk bagi proses semaian.
"Selain keladi telinga gajah, turut menjadi buruan adalah keladi cat tumpah. Harga anak pokok keladi jenis tersebut boleh mencecah kira-kira RM200 dan semakin besar saiznya, maka semakin tinggi nilainya.
"Sebenarnya, permintaan tinggi pokok hiasan ini bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu. Dalam tempoh tersebut, orang ramai mempunyai banyak masa terluang di rumah masing-masing," katanya.
Beliau berkata, sebelum pokok keladi menjadi tular, pokok lidah jin terlebih dahulu mencuri tumpuan.
"Keadaan yang sama juga, kami memang tak menang tangan memenuhi permintaan peminat pokok-pokok ini pada setiap hari. Kami anggapnya sebagai rezeki," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!