Bubar Parlimen bukan pilihan terbaik: Shamrahayu
SHAH ALAM - Pembubaran Parlimen ketika negara sedang bergelut dengan krisis kesihatan dan ekonomi tidak dilihat sebagai pilihan terbaik.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata, walaupun pilihan raya boleh berlaku dalam masa 60 hari selepas pembubaran, keadaan sekarang menunjukkan kes koronavirus (Covid-19) semakin mudah tersebar di negara ini.
Beliau berkata, oleh itu pilihan lain yang ada adalah untuk melihat semula siapa yang mempunyai kepercayaan majoriti dan proses yang berlaku pada 26 Februari lalu akan terjadi kembali.
"Jika ini berlaku, kasihan pada rakyat kerana apabila kerajaan baharu dibina mungkin pelantikan Kabinet akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu dan penyesuaian jemaah menteri dengan kementerian dalam keadaan semasa juga mungkin tidak kurang lima bulan.
"Sewaktu kerajaan PH (Pakatan Harapan) dalam keadaan aman ambil alih kerajaan dulu, dalam tempoh enam bulan pertama pentadbiran dilihat masih belum stabil.
"Kemudian kerajaan PN (Perikatan Nasional) pada awal Mac sehingga kini menerajui dan ditambah masalah Covid-19 tapi disebabkan mereka ada menteri-menteri yang pernah ada pengalaman lama, jadi ia menyumbang kepada kestabilan pentadbiran negara," katanya ketika Wacana Sinar ke-201 bertajuk Kesan Gerak Politik Anwar Kepada Kerajaan Muhyiddin yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf di sini, semalam.
Shamrahayu berkata, berdasarkan keadaan itu, beliau melihat pilihan terbaik sekarang adalah untuk mengekalkan kerajaan sedia ada kerana ia stabil walaupun majoriti kecil.
Menurutnya, banyak negara lain yang juga mempunyai sokongan majoriti kecil tetapi pembangkang mereka sangat berwibawa dan kerajaan boleh berfungsi dengan baik kepada rakyat.
Turut hadir sebagai panelis, penganalisis politik, Dr Anuar Shah Bali Mahomed dan Herleena Pahlavy bertindak selaku moderator.
Dalam pada itu, ketika mengulas sekiranya terbukti Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan majoriti seperti didakwa, Shamrahayu berkata, mahu tidak mahu perkara pertama yang harus dilakukan adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meletakkan jawatan dan meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
"Jadi di sini ia terpulang kepada Seri Paduka Baginda sama ada untuk membubarkan Parlimen atau tidak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!