Mayat reput ditemui di tepi Sungai Klang
KUALA LUMPUR - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan separuh bogel di tepi Sungai Klang berhampiran Lebuhraya Akleh, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Shaharuddin Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian oleh orang awam pada jam 12.06 tengah hari.
Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk siasatan.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mayat terbabit merupakan seorang lelaki dewasa.
"Keadaan mayat ketika dijumpai tidak berbaju dan hanya memakai seluar dalam jenis 'boxer'.
"Mangsa dipercayai sudah mati antara tiga hingga lima hari, "katanya.
Katanya, kesan kecederaan termasuk anggaran umur serta bangsa juga tidak dapat disahkan ekoran keadaan mayat yang sudah reput.
Shaharuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Sementara itu, pasukan bomba dari Balai Bomba Jalan Tun Razak turut dipanggil ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mengambil mayat berkenaan.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Tinggi, Fuad Omar berkata, ketika pihaknya tiba bersama lima anggota mendapati mayat terbabit berada di kawasan semak di tepi sungai berkenaan.
"Anggaran ketinggian adalah 15 meter dan mayat mangsa berjaya dinaikkan pada jam 3.12 petang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!