KPDNHEP Selangor lupus barang tiruan bernilai RM2.11 juta

Muhamad Zikril (kanan) menunjukkan antara barang tiruan yang dilupuskan dalam Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguatkuasa Ke-48 di Shah Alam hari ini.
Muhamad Zikril (kanan) menunjukkan antara barang tiruan yang dilupuskan dalam Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguatkuasa Ke-48 di Shah Alam hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melupuskan pelbagai barangan tiruan bernilai RM2.11 juta melibatkan 16 kes hari ini.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, antara barang yang dilupuskan adalah seluar jeans, tablet, alat ganti kenderaan, beg tangan dan dompet yang menggunakan jenama terkenal.

"Rampasan barang tiruan ini membabitkan siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak Cipta 1987, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagang 2019 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

"Kesemua barang ini dilupuskan setelah mendapat kelulusan dan perintah mahkamah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana KPDNHEP Selangor sempena Hari Penguatkuasa Ke-48 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril berkata, secara keseluruhan, pada tahun ini sejak Januari hingga Oktober, sebanyak 243 kes libatkan jumlah RM3.29 juta barang tiruan telah dilupuskan.

Beliau berkata, pelbagai modus operandi dikenal pasti sepanjang operasi membanteras sindiket jualan barang tiruan antaranya suspek beroperasi di premis tidak berdaftar, jualan di pasar malam atau 'uptown'.

"Malah ada juga kegiatan ini aktif secara dalam talian yang mana barangan ini dibawa masuk dari luar negara mahu pun diperoleh dari dalam negara," katanya.

Katanya, pihaknya memberi amaran keras kepada peniaga agar tidak terlibat menjual barang tiruan.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna juga diminta untuk tidak membeli barangan tiruan selain melaporkan kepada mana-mana cawangan KPDNHEP untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!