Kerajaan PN ibarat telur di hujung tanduk: A Kadir Jasin
SHAH ALAM - Kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin tidak menentu selepas UMNO mempertimbangkan untuk menarik semula sokongan terhadap gabungan itu.
Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin berkata, pengumuman yang dibuat menerusi mesyuarat Biro Politik Umno semalam merupakan satu penjelasan berhubung keadaan Kerajaan PN yang mungkin sudah hilang majoriti untuk mentadbir negara.
“Bersabit kenyataan Setiausaha Agung UMNO, (Datuk Seri) Ahmad Maslan di bawah ini, jelaslah bahawa Kerajaan PN sama ada telah hilang majoriti misterinya atau ibarat telur di hujung tanduk, seekor kerbau jantan yang akan berlaga.
“Lagipun majoriti yang didakwa oleh Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) itu hanyalah teori dan tekaan. Ia tidak pernah diuji di Dewan Rakyat dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) menggunakan pelbagai tipu helah bagi mengelakkannya," katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
A Kadir berkata, perkara itu secara langsung memberikan kewibawaan kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak-pihak lain bahawa Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti.
Tambah beliau, ketegasan Biro Politik UMNO yang memberikan syarat baharu kepada PN turut memberikan gambaran yang kerajaan yang diterajui Muhyiddin akan berhadapan dengan tuntutan yang lebih berat.
Sementara itu, A Kadir turut berpandangan bahawa pengumuman Biro Politik UMNO itu memberi petanda bahawa terdapat masalah dalaman dalam gabungan tersebut.
“Nampaknya, dengan menghebahkan hasil keputusan Biro Politik tanpa menunggu pengesahan Majlis Tertinggi (MT), terdapat masalah dalam Umno sendiri.
“Boleh jadi jika dibawa kepada MT UMNO akan berlaku perbezaan pendapat kerana jelas ada sebahagian ahli MT yang ternyata menjadi penyokong kuat Muhyiddin kerana mereka ada jawatan empuk dalam Kerajaan PN,” katanya.
A Kadir juga berpendapat bahawa kenyataan Ahmad Maslan menguji pendirian Pas dalam Muafakat Nasional (MN) kerana parti itu baru saja mengulangi ikrar menyokong Muhyiddin dan Kerajaan PN.
Menurutnya, cadangan Biro Politik UMNO supaya menyegerakan pendaftaran MN secara tidak langsung memberi kata dua kepada Pas sama ada mahu terus bersama PN atau kembali kepada MN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!