Larangan aktiviti bersukan bersifat sementara: KBS
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan larangan aktiviti bersukan dalam dewan (indoor), selain sukan kontak dan berpasukan seperti bola sepak dan futsal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), perlu dilaksanakan dalam usaha memutuskan penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, larangan berkenaan adalah daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu adalah demi menjamin kesihatan serta kepentingan awam.
Bagaimanapun menurutnya, kesemua larangan berkenaan hanyalah buat sementara waktu dalam usaha membantu negara memutuskan rantaian penularan Covid-19.
“Kita cukup prihatin dan memahami keresahan pemain industri sukan yang terkesan akibat arahan terkini kerajaan berikutan penguatkuasaan PKPB khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika ini.
“Bagaimanapun, larangan aktiviti sukan ini hanyalah bersifat sementara dan kerajaan telah membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan kontak fizikal boleh dijalankan secara individu dan di tempat terbuka terhad kepada maksimum 10 orang pada satu-satu masa,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Reezal Merican berkata pihaknya memberikan jaminan untuk terus komited bagi membantu industri sukan di negara ini.
Katanya, usaha berkenaan juga diharap mendapat kerjasama dan paduan daripada pihak MKN dan KKM dalam usaha menjamin kesemua aktiviti sukan dan rekreasi ini boleh dibuka semula.
“Kita harap kerjasama ini dapat membantu pembukaan semula aktiviti dan rekreasi ini dapat dibuka semula seperti mana ketika dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebaik sahaja berakhirnya PKPB nanti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!