Kompaun serta-merta di sekatan jalan

Baharudin (tengah) ditemui pemberita ketika penugasan PKPB peringkat IPD Shah Alam di Restoran Hakim, Seksyen 7 Shah Alam semalam.
Baharudin (tengah) ditemui pemberita ketika penugasan PKPB peringkat IPD Shah Alam di Restoran Hakim, Seksyen 7 Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Individu yang dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) akan dikompaun serta-merta.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tindakan tegas akan diambil selepas jam 10 malam selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula tengah malam kelmarin.

"Bagaimanapun, untuk SJR pada waktu siang, kita akan lebih longgar yang mana kita faham kebanyakan penduduk daerah ini masih bekerja dalam tempoh PKPB," katanya ketika ditemui pemberita ketika penugasan PKPB peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 10 sekatan jalan raya bergerak dilaksanakan di seluruh daerah ini sepanjang tempoh 14 hari PKPB dilaksanakan.

"Polis juga akan melaksanakan sekatan di empat lokasi tetap bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan dan SOP.

"Empat lokasi utama ialah di Persiaran Kayangan Seksyen 7, Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, Plaza Tol Shah Alam dan Plaza Tol Setia Alam.

"Waktu sekatan pula mengikut keperluan dan lebih fokus kepada laluan utama memasuki kawasan Shah Alam termasuk di taman perumahan," katanya

Katanya, bagi tempoh PKPB ini juga, seramai 250 anggota dan pegawai terlibat termasuk Unit Kereta Peronda, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Pemantau Pematuhan PKPB Op Covid-19 untuk memastikan tahap kepatuhan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut menjalankan pemantauan di semua premis perniagaan termasuk restoran bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!