Great Barrier Reef semakin terancam
BRISBANE - Sebahagian daripada terumbu karang terbesar di dunia, Great Barrier Reef telah mati sejak 1995 berikutan suhu air laut yang lebih panas akibat fenomena perubahan iklim.
Kajian diterbitkan menerusi Proceedings of the Royal Society Journal mendapati kadar penurunan yang membimbangkan membabitkan pelbagai saiz terumbu karang di kawasan pesisir timur laut Australia seluas 2,300 kilometer yang turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia.
Menurut laporan itu, spesies lebih besar seperti terumbu karang bercabang dan berbentuk meja paling teruk terjejas dan hampir pupus di kawasan utara.
"Jumlahnya berkurangan sehingga 80 atau 90 peratus berbanding 25 tahun lalu," kata penulis bersama laporan itu, Profesor Terry Hughes daripada James Cook University.
Difahamkan, keadaan itu semakin buruk sejak kejadian pelunturan besar-besaran pada 2016 dan 2017 yang memusnahkan dua pertiga terumbu karang tersebut.
"Ia terus meluntur pada tahun ini. Kita perlu bertindak segera menurunkan kadar pelepasan gas rumah hijau," tegasnya yang menjelaskan keadaan terumbu karang tersebut akan pulih jika keadaan kembali normal, namun ia boleh mengambil masa selama beberapa dekad.
Kejadian pelunturan besar-besaran pertama kali dikesan pada 1998 yang pada masa itu merekodkan tahun paling panas.
Kajian pada 2019 mendapati koloni terumbu karang yang musnah berdepan kesukaran untuk tumbuh semula berikutan kebanyakan terumbu karang dewasa telah mati.
"Populasi terumbu karang mempunyai jutaan anak dan saiz lebih kecil," ujar ketua penulis laporan itu, Dr Andy Dietzel. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!