MFL peka masalah pasukan Lembah Klang
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan mengusulkan permintaan kepada pihak berwajib berhubung kebenaran untuk turun berlatih bagi pasukan-pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam hingga 27 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pasukan-pasukan berkenaan khususnya melibatkan Kuala Lumpur, UiTM FC, Selangor dan PJ City FC kini dilaporkan tidak boleh mengadakan latihan sebagai persiapan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan juga TM Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung awal November depan.
“Kita di MFL sentiasa peka terhadap perkara-perkara seperti ini. Kita akan berusaha agar kesemua pasukan-pasukan ini diberikan kebenaran untuk berlatih sama seperti ketika kita adakan latihan Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini.
“Selain itu, latihan berkenaan juga mungkin boleh diadakan di lokasi (stadium) yang tertutup serta dilengkapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan seperti ketika Fasa 1 dan Fasa 2.
“Apa pun, sebarang keputusan adalah daripada pihak yang berkenaan kerana perkara ini sememangnya di luar bidang kuasa MFL,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur menerusi Setiausaha Agungnya, Nokman Mustaffa dan rakan sejawatannya dari UiTM FC, Mustaza Ahmad meminta jasa baik MFL agar memberikan pertimbangan kepada pasukan masing-masing untuk menjalani latihan dalam tempoh PKPB kali ini.
Kuala Lumpur bakal berdepan Kuching FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur bagi saingan terakhir Liga Premier manakala UiTM FC bakal berdepan Sabah (CIMB Liga Super) di Stadium UiTM, Shah Alam pada 31 Oktober ini.
Sementara itu, Ab Ghani berharap agar pihak berwajib dapat memberikan pertimbangan berhubung permintaan pasukan-pasukan berkenaan bagi mengadakan latihan sebagai persiapan masing-masing.
Katanya, rekod MFL setakat ini adalah baik khususnya dari segi pematuhan terhadap SOP yang dikemukakan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagaimana yang dilakukan pada sesi latihan Fasa 1 dan Fasa 2 sebelum ini.
“Saya mengharapkan pertimbangan diberikan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia kita dan kita akan usulkan kepada pihak yang berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!