Jadual padat punca kemerosotan MU
TONGGAK pertahanan Manchester United, Victor Lindelof menyifatkan jadual padat yang diharungi The Red Devils menjadi punca pasukan itu gagal memulakan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan baik.
Menurutnya, United tidak mempunyai masa rehat yang cukup sebelum liga bermula jika dibandingkan dengan pasukan lain selepas selesai mengharungi saingan Liga Europa musim lalu.
"Ini bukan permulaan terbaik kami dalam liga dan saya tidak tahu kenapa ia berlaku. Tetapi, salah satu puncanya ialah kami bermain lama di Liga Europa musim lalu dan tidak mendapat rehat yang mencukupi.
"Kami memang memiliki satu-dua minggu untuk buat persiapan sebelum liga bermula tetapi kami belum mencapai tahap yang dimahukan. Tetapi, saya rasa selepas tugasan antarabangsa ini, banyak pemain yang akan kembali dan berada pada tahap yang terbaik," katanya.
Untuk rekod, United beraksi dalam saingan Liga Europa musim lalu sehingga ke peringkat separuh akhir pada pertengahan bulan Ogos dengan majoriti pasukan EPL sudah mengakhiri musim dan menjalani tempoh berehat sebelum liga bermula pada September.
Lindelof mengakui ia sebagai satu punca menyebabkan masa untuk pemain United berehat sangat pendek dan menjejaskan persiapan pasukan sehingga hanya mampu mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan dalam aksi liga.
"Namun, perjalanan liga masih jauh. Kami tidak panik dengan situasi ini. Semua pemain sedar bahawa mereka perlu berubah dan meningkatkan prestasi. Apa yang paling penting adalah kami bangkit selepas ini.
"Saya yakin kami akan mendapat kemenangan dalam aksi akan datang dan dalam masa sama cuba untuk kembali mencabar pasukan lain dalam saingan EPL," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!