Muhyiddin perlu kemuka bukti sokongan: Hamidah
IPOH - [DIKEMASKINI] Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengemukakan senarai akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen yang masih menyokong beliau.
Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu perlu dibuat bagi meredakan ketegangan politik yang berlaku setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.
Menurutnya, sekiranya Muhyiddin berjaya mengemukakan bukti sokongan itu, maka konflik politik ini dapat diredakan, sekali gus menenangkan kegelisahan rakyat.
"Kita nampak keadaan itu seolah-olah tiada kesudahan. Istana pula diheret dalam konflik politik yang tiada kesudahan ini. Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin perlu tamatkan konflik politik dengan kemukakan bukti sokongan ini.
"Sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin kena jujur dan berani. Kalau tak cukup majoriti, beliau kena letak jawatan. Beliau kena jujur dan jangan bebankan Yang di-Pertuan Agong untuk selesaikan konflik ini," katanya ketika sidang media di Pejabat Putra Perak, Bandar Sunway di sini hari ini.
Hamidah berkata, Muhyiddin sepatutnya memainkan peranan untuk menghentikan konflik politik segera dalam keadaan rakyat sengsara akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Selagi keadaan politik tidak stabil, katanya, kedudukan ekonomi juga menjadi semakin merosot, sekali gus menjejaskan negara untuk mendapatkan keyakinan pelabur.
"Sekiranya Muhyiddin tidak mempunyai sokongan yang cukup untuk mentadbir kerajaan, maka beliau perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong menjelaskan keadaan sebenar," katanya.
Hamidah yang juga Ketua Penyelaras Putra Perak berkata, sekiranya Muhyiddin kehilangan sokongan sebagai Perdana Menteri, maka seorang tokoh yang bukan dalam kalangan ketua parti dicadangkan dilantik memegang jawatan tertinggi kerajaan itu buat sementara waktu.
"Putra melihat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah paling sesuai dilantik ke jawatan tersebut berdasarkan pengalaman serta keupayaan beliau.
"Pelantikan itu diharap mampu memulihkan ekonomi negara selain meredakan ketegangan politik yang berlaku sehingga pilihan raya umum dapat diadakan," katanya.
[LIVE] Sidang media Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia[LIVE] Sidang media Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman mengenai isu politik semasa negara di Pejabat Putra Negeri Perak, Bandar Sunway, Ipoh lapor Wartawan Sinar Harian, Saifullah Ahmad.
Posted by Sinar Harian on Wednesday, October 14, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!