Isu Israel: NGO Palestin hargai sokongan padu Malaysia
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) hari ini merakamkan penghargaannya kepada kerajaan Malaysia serta Kementerian Belia dan Sukan di atas sokongan padu terhadap Palestin dengan mengharamkan atlet Israel memasuki Malaysia.
Penghargaan itu disampaikan dalam satu pertemuan antara delegasi PCOM yang diketuai pengerusinya Muslim Imran dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Menurut kenyataan PCOM, dalam ucapannya timbalan menteri itu berkata perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan kemanusiaan untuk mendapatkan kebebasan, yang mana semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang seharusnya memberikan sokongan padu.
Beliau juga mahu lebih banyak komunikasi antara rakyat dan institusi di kedua-dua negara demi kepentingan bersama.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 10 Januari dilaporkan berkata kerajaan tegas dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel menyertai Kejohanan Renang Dunia Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak dari 29 Julai hingga 4 Ogos.
Ahad lalu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa melucutkan hak Malaysia sebagai tuan rumah kerana Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan atlet Israel boleh menyertai kejohonan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!