Pemandu Myvi dipenjara 6 tahun, denda RM8,000
JOHOR BAHRU - Pemandu Perodua Myvi yang memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan pada Sabtu lalu, dipenjara enam tahun dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, yang mengenakan pakaian berwarna hitam dan berkerusi roda mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Majistret Suhaila Shafi'uddin turut memerintahkan tertuduh hilang hak kelayakan daripada memegang lesen memandu selama enam tahun dari tarikh sabitan.
Nur Fatin Nasrah dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda sehingga RM20,000 dan lesennya boleh digantung serta hilang kelayakan lesen memandu.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon maaf kepada keluarga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia dalam kemalangan itu.
"Saya menyesal dan mengaku salah atas perbuatan saya. Saya memohon maaf kepada keluarga mangsa kerana perbuatan ini telah menyebabkan mereka kehilangan orang tersayang," katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas kepentingan awam memandangkan kesalahan dilakukan itu telah meragut nyawa.
Selain itu, katanya, mahkamah juga perlu mengambil kira keadaan tertuduh yang bukan sahaja memandu di bawah pengaruh dadah, malah tidak memiliki lesen kenderaan dan memandu secara berbahaya.
"Kejadian ini telah tular di media sosial. Semua orang pasti melihat video kejadian terbabit. Kejadian ini telah berlaku pada orang lain, bayangkan jika berlaku terhadap kita atau keluarga kita," katanya.
Sementara itu, mahkamah turut mengenakan denda RM3,300 terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas tiga kesalahan trafik iaitu tidak memiliki lesen kenderaan, membawa kenderaan lesen tamat tempoh dan tidak dilindungi insurans di lokasi dan waktu sama.
Pada prosiding berasingan, tertuduh yang mengaku bersalah dihukum penjara tujuh bulan atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine dan amphetamie pada jam 7.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, 10 Oktober lalu.
Pendakwaan kes itu dikemukakan bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.
Pada Sabtu lalu, seorang anggota TLDM, Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Plaza Pelangi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kertas siasatan kes pemandu Myvi diserah kepada Peguam Negara
Pemandu wanita positif dadah, reka cerita kemalangan maut
Seorang maut nahas tiga kereta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!