Polis buka kertas siasatan Twitter Raja Farah Sofea
JOHOR BAHRU - Polis sudah membuka satu kertas siasatan berhubung kenyataan pemilik akaun Twitter Raja Farah Sofea yang mengaibkan kematian seorang anggota di Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Mitchay berkata, siasatan lanjut mengenai kenyataan tersebut sedang dilakukan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kita sedang siasat sama ada akaun (Twitter) berkenaan palsu atau tidak. Individu berkenaan juga belum dipastikan lagi setakat ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan 320 pesara, 34 bakal pesara polis dan pegawai awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Ayob Khan mengulas tindakan pemilik akaun berkenaan kerana didakwa membuat kenyataan menghina dan memalukan berkaitan kemalangan itu.
Raja Farah Sofea dalam akaun Twitternya menulis: "Ingatkan tentera ni kuatla sangat. baru kena langgar dah mati. mcmtu ja frontliner. belum pape dah kiok! kah!
Bagaimanapun, semakan semula terhadap kenyataan berkenaan dalam laman berkenaan sudah dipadamkan.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas keretanya dirempuh kereta suspek.
Kemalangan itu melibatkan kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang wanita, kereta Honda Accord dipandu Mohd Rizal dan sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu seorang warga emas, Chang Ah May, 78.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!