Dalami ilmu jasad cakerawala di Kompleks Falak Al-Khawarizmi
Walaupun Planetarium Melaka tidak beroperasi buat sementara waktu, orang ramai yang mahu mendalami ilmu astronomi mengenai jasad cakerawala boleh berkunjung ke Kompleks Falak Al-Khawarizmi.
Kompleks terbesar di Malaysia dan terletak di Tanjung Bidara itu dibangunkan Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2002 serta diletakkan di bawah Jabatan Mufti Melaka.
Kompleks Falak Al-Khawarizmi menyediakan pelbagai kemudahan menarik seperti balai cerap, pusat latihan, lawatan galeri interaktif, galeri astronomi Islam, galeri sistem suria dan bilik kuliah serta aktiviti pelancongan.
Kompleks itu tidak hanya menjadi tumpuan pada hari tertentu seperti mencerap hilal iaitu melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa dan hari raya semata-mata.
Apa yang menarik, menurut Pegawai Sains Balai Cerap Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Nor Nazmi Razalim, ia merupakan lokasi terbaik untuk mempelajari ilmu falak dan ilmu falak syarie.
Ilmu falak mengkaji mengenai asal usul, pergerakan dan sifat objek samawi serta alam semesta manakala ilmu falak syarie mengkaji dalam ruang lingkup sama tetapi mempunyai matlamat yang akhirnya mengesakan tuhan pencipta alam, melihat kebesarannya serta mempunyai kaitan rapat dengan amal ibadat umat Islam.
Pengunjung berpeluang melihat cerapan matahari pada waktu siang dan melihat cerapan langit pada waktu malam selain cerapan hilal, sekali gus memperlihatkan kebesaran ALLAH SWT.
“Kaedah mencerap hilal dilakukan sebagai amalan sunnah Rasulullah SAW dan Malaysia mengamalkan rukyah dan hisab (imkanur rukyah) bagi penentuan awal bulan Islam, cara yang sama juga digunakan bagi tujuan penyusunan kalendar Islam.
“Sebagai contoh, biarpun tarikh bermula awal Ramadan dan 1 Syawal telah dicatatkan dalam kebanyakan kalendar tahun Masihi serta hijrah namun cerapan hilal adalah kaedah yang pernah digunakan Rasulullah SAW dan ia adalah sunnah Nabi dengan cara rukyah mencerap hilal,” kata Nor Nazmi.
Jelasnya, mencerap hilal mempunyai hikmah yang bermatlamat membentuk akhlak mulia serta membangunkan manusia supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah.
Katanya, menerusi pemerhatian dan kajian, mencerap hilal memberi inisiatif untuk lebih mengenal tuhan yang mencipta alam ini yang mana seruan kepada mengenal tuhan bermula dengan arahan memberi perhatian dan merenung kepada alam semesta.
"Ilmu falam selari dengan pendidikan Islam yang berasaskan kepada mengenal tuhan, alam dan mengenal diri selain berkait rapat dengan ibadat dan kehidupan manusia.
“Ibadat yang dilaksanakan dalam batas tertentu yang ditentukan melalui fenomena alam cakerawala seperti pergerakan bulan, bumi dan matahari.
“Lebih menarik objek-objek yang dilihat ketika mencerap hilal secara tidak langsung dapat menyaksikan kebesaran ALLAH SWT yang mencipta dan mengatur perjalanan alam,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai tempat menarik itu, beliau berkata, lawatan ke balai cerap adalah salah satu usaha untuk mendekatkan sains angkasa kepada masyarakat supaya bidang itu tidak dianggap asing dan mampu menarik minat golongan muda untuk menerokainya dan bertambah minat pelajaran sains.
Pihaknya sentiasa mengalu-alukan kedatangan orang ramai dan membenarkan pelawat merasai pengalaman sebenar berada dalam balai cerap.
“Sudah pasti ia akan menjadikan satu pengalaman manis bagi penggemar ilmu falak dan astronomi kerana dapat melihat serta menambahkan pengetahuan mengenai planet, bintang, bulan matahari dan sebagainya.
“Sejak kompleks ini dibina ia juga sering menjadi rujukan balai cerap negeri lain bagi mengembangkan ilmu falak dan astronomi,” katanya.
Fasiliti lengkap
Kompleks Falak Al-Khawarizmi sering menjadi lokasi untuk mengadakan kem mahupun kursus sama ada pelajar sekolah ataupun agensi kerajaan dan swasta.
Menyediakan fasiliti lengkap termasuk penginapan yang selesa dan tempat yang lapang, lokasi ilmu astronomi dan falak itu menjadi tumpuan dan menerima tempah banyak pihak walaupun dalam situasi pandemik koronavirus (Covid-19).
Pengurus Kompleks Al-Khawarizmi Sdn Bhd, Norazmi Hussin berkata, selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pihaknya masih menerima tempahan bagi penggunaan auditorium di Kompleks Falak Al-Khawarizmi.
Bagaimanapun katanya, bilangan penyertaan terpaksa dihadkan kepada maksimum 150 orang bagi program tidak bermalam walaupun kemudahan latihan yang disediakan boleh menampung seramai kira-kira 300 peserta.
Pihaknya memastikan langkah-langkah seperti penjarakan sosial dapat dilaksanakan selain menetapkan hanya satu agensi dibenarkan dalam satu masa bagi memudahkan pihaknya memantau dan melakukan proses sanitasi sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.
Katanya, antara kelebihan kepada peserta ialah walaupun sibuk berkursus namun pada masa sama mereka dapat merasai dan menambahkan pengetahuan mengenai ilmu astronomi selain melihat cerapan langit, matahari serta bulan.
“Peluang seperti ini jarang-jarang terdapat di tempat lain biarpun objektif mereka datang untuk mengikuti kursus syarikat dan sebagainya, tetapi ada pengisian lain yang mereka boleh lakukan di sini.
“Jadi ilmu yang mereka dapat boleh dikongsi dengan yang lain setelah mereka pulang dan kerana itu sehingga kini kami tidak henti menerima tempahan termasuk luar dari Melaka,” katanya
Norazmi berkata, kompleks itu pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi kursus falak yang disertai peserta dari seluruh negeri.
Kursus atau kem astronomi membabitkan pelajar sekolah turut dianjurkan sebelum ini kerana bidang itu berkaitan dengan sains dan agama.
“Selain menerima peserta kursus, tempat ini juga dihidupkan dengan aktiviti pelajar-pelajar tahfiz Pulau Besar yang dipindahkan ke sini.
“Kita yakin projek naik taraf galeri Kompleks Al-Khawarizimi dengan kolaboratif bersama Universiti Teknikal Malaysia (UteM) seperti menggunakan realiti maya (VR) akan menambahkan lebih banyak info dan menarik minat pelbagai lapisan masyarakat untuk berkunjung ke sini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!