Gambar diperguna untuk pinjam wang rakan
SABAK BERNAM - Seorang usahawan mendakwa gambarnya pada aplikasi WhatsApp digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk meminta wang daripada seorang kenalannya berjumlah RM3,850.
Mohd Shaiful Haniff Hussin, 33, berkata, dia menyedari perkara itu apabila dihubungi seorang rakannya kira-kira jam 4.40 petang semalam.
Menurutnya, rakannya memberitahu, pihak terbabit yang menggunakan gambarnya meminta tolong dia meminjamkan wang dan memasukkan ke akaun penama lain yang tidak dikenali.
"Rakan saya yang berasa curiga dengan permintaan pemindahan wang itu kemudian hubungi saya memaklumkan perkara berkenaan.
"Saya menafikan menghantar apa-apa WhatsApp meminjam wang dan terkejut apabila mendapati gambar saya digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan penipuan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Shaiful berkata, dia tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana tiada sebarang pemindahan wang dilakukan.
Malah katanya, dia difahamkan terdapat beberapa kenalannya pernah menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambar untuk menyamar dan kemudian menghantar mesej meminta wang.
"Sebelum ini, beberapa rakan saya seperti nazir masjid, imam dan ustazah di sekitar daerah ini mendakwa mereka juga pernah menjadi mangsa penipuan dengan cara yang sama," katanya.
Ujarnya, modus operandi digunakan individu terbabit adalah menggunakan gambar milik individu tertentu untuk mendapatkan wang secara mudah.
Justeru, katanya, dia berharap orang ramai tidak menjadi mangsa kegiatan seperti itu kerana ia membabitkan sejumlah wang tunai.
"Kita minta orang ramai berhati-hati apabila menerima pesanan WhatsApp yang meminta pemindahan wang dilakukan ke akaun lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!