PKPB di Labuan mulai Sabtu ini
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 17 hingga 30 Oktober ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan Covid-19 di kawasan tersebut.
“Bagi prosedur operasi standard (SOP) PKPB di Labuan, semua aktiviti ekonomi termasuk industri dan perkilangan adalah dibenarkan.
“Bagaimanapun, pergerakan keluar masuk merentas negeri tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan atau yang mempunyai pas pekerja,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.
Menurutnya, memandangkan Labuan kawasan aktiviti perairan, perkhidmatan pengangkutan air seperti feri Ro-Ro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan beroperasi sehingga 6 petang dengan kapasiti terhad selain mematuhi SOP ditetapkan.
"Aktiviti lain yang dibenarkan adalah perkhidmatan pengangkutan teksi air dan penambang bermula jam 6 pagi hingga 6 petang serta proses ‘sign on’ dan ‘sign off’ industri perkapalan serta minyak dan gas mengikut peraturan SOP yang sedang berkuat kuasa.
"SOP bagi pergerakan keluar masuk anak kapal kekal seperti yang ditetapkan sebelum ini, namun bagi anak kapal yang datang dari Sabah ke Labuan, mereka yang melakukan 'sign off’ perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari,” katanya.
Katanya, aktiviti ekonomi di kawasan PKPB dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan mematuhi SOP serta waktu operasi ditetapkan.
"Waktu operasi bagi restoran, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, medan selera, kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka adalah dari 6 pagi hingga 10 malam.
"Pembelian makanan secara pandu lalu, penghantaran serta pembungkusan adalah digalakkan. Pengusaha atau operator premis perlu memastikan pekerja, pembekal dan pelanggan merekod kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual,” katanya.
Ismail Sabri, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga mempersembahkan cadangan jumlah jemaah bagi solat lima waktu dan solat Jumaat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan.
“Bagi mengimarahkan masjid, mesyuarat bersetuju membenarkan azan, mendirikan solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat.
"Untuk menentukan jumlah jemaah, JAWI akan persembahkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya sambil menambah hanya enam orang dibenarkan bagi aktiviti dalam rumah ibadat bukan Islam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!