Murid positif Covid-19, SK Taman Desa Skudai ditutup
JOHOR BAHRU - Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa Skudai di sini ditutup selama lapan hari mulai hari ini ekoran seorang muridnya disahkan positif Covid-19.
Tinjauan pemberita di sekolah itu hari ini mendapati ada satu notis arahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang dilekat pada pintu pagar utama sekolah memaklumkan penutupan sekolah berkenaan dari 16 hingga 23 Oktober.
Notis berkenaan turut memaklumkan murid akan dibenarkan ke sekolah pada 25 Oktober.
Difahamkan, seorang murid lelaki tahun tiga disahkan positif Covid-19 dan susulan itu sekolah ditutup bagi membolehkan proses sanitasi serta ujian calitan terhadap kontak rapat dilakukan.
Berdasarkan pemerhatian dari luar pagar sekolah sejak 8 pagi tadi, ujian calitan itu yang dijalankan di pekarangan sekolah bermula pada jam 9.45 pagi.
Kira-kira 70 kontak rapat yang terdiri daripada murid sekolah itu serta murid daripada sebuah lagi sekolah, iaitu Sekolah Agama Tafrijiyyah Taman Universiti, Skudai yang turut dihadiri murid lelaki itu, menjalani ujian saringan berkenaan.
Murid yang selesai menjalani ujian calitan ditemani penjaga masing-masing dilihat dipakaikan gelang berwarna merah jambu sebelum beredar meninggalkan sekolah selain diminta melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula hari ini.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang dan Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari yang dihubungi bagi mendapatkan pengesahan memaklumkan pihaknya tidak boleh memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dijadual melakukan proses sanitasi di sekitar sekolah pada petang ini.
Sejak petang semalam, tular satu pesanan ringkas melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi makluman berkaitan seorang murid lelaki tahun tiga SK Taman Desa Skudai disahkan positif Covid-19.
Menurut makluman itu, murid berkenaan dipercayai dijangkiti Covid-19 selepas saudaranya dari Selangor mengunjungi kediaman murid tersebut di Skudai, pada 5 Oktober lepas dan keluarga murid itu dihubungi Kementerian Kesihatan setelah seorang daripada saudara mereka disahkan positif.
Mereka diarahkan menjalani kuarantin kendiri bermula 8 Oktober lepas hingga 19 Oktober ini, sebelum murid itu disahkan positif Covid-19 tengah hari semalam.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!