Covid-19: 75 individu dibenar pulang dari pusat kuarantin
MARANG – Seramai 75 individu yang menjalani perintah kuarantin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas tamat tempoh kuarantin selama 14 hari ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mereka yang menjalani kuarantin selepas dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada pesakit koronavirus (Covid-19) juga menarik nafas lega apabila disahkan negatif wabak itu selepas tiga kali menjalani ujian calitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata, mereka dikuarantin di dua pusat kuarantin iaitu Pusat Sumber Teknologi Pendidikan dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai.
“Sejak dibuka semula pada 27 September lalu, seramai 37 individu ditempatkan di Pusat Sumber Teknologi Pendidikan manakala akademi Bomba pula yang dibuka semula pada 3 Oktober menempatkan 123 individu.
“Hari ini, 62 individu yang dibenarkan pulang adalah dari pusat kuarantin akademi Bomba dan selebihnya adalah dari pusat sumber teknologi pendidikan,” katanya selepas hadir meninjau pusat kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai, hari ini.
Sementara itu, salah seorang individu yang menjalani kuarantin perintah di sana berkata, dia terkejut dan berdebar apabila kakitangan dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan perlu dikuarantin kerana kontak rapat.
“Bila dapat tahu tempat kerja ada yang positif Covid-19 dan saya kena kuarantin memang berdebar, kaki, tangan dan sendi rasa lembik. Paling bimbang anaklah, takut jangkit sebab masih kecil,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Amran.
Bagaimanapun, dia yang bekerja sebagai kakitangan awam itu menganggap tempoh 14 hari di pusat kuarantin merupakan pengalaman berharga mengajarnya lebih berhati-hati dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.
“Paling penting, kita perlu sentiasa patuh kepada prosedur operasi standart (SOP) iaitu jaga jarak antara satu sama lain, pakai pelitup muka dan biasakan diri basuh tangan dengan kerap,” katanya.
Sehingga semalam, Terengganu merekodkan 157 kes positif Covid-19 dengan 25 kes aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!