Kota Kinabalu lengang angkara Covid-19

Keadaan pusat bandar raya Kota Kinabalu masih lenggang.
Keadaan pusat bandar raya Kota Kinabalu masih lenggang.
A
A
A

KOTA KINABALU - Meskipun semua pengusaha sektor ekonomi, industri dan perniagaan sudah dibenarkan beroperasi semula dengan mengikut Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Rabu lalu namun masih ramai belum membuka operasi perniagaan masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian di pusat bandar raya Kota Kinabalu mendapati, keadaan masih lengang dan hanya beberapa premis membuka semula operasi perniagaan manakala selebihnya masih lagi menutup premis masing-masing.

Menurut pengusaha perisa dan rokok elektronik, Nurul Saadah, 24, dia mula membuka semula premisnya sejak semalam selepas SOP PKPB terbaharu diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa premis perniagaan dibenarkan beroperasi.

"Saya tahu sejak semalam lagi dan ini hari kedua premis dibuka namun setakat ini masih kurang pelanggan kerana tidak ramai yang tahu kedai sudah boleh dibuka.

"Keadaan di sekitar Kota Kinabalu pun masih lenggang setakat ini dan pelanggan yang datang pun hanya 'walk in' saja," katanya ketika ditemui di premisnya yang terletak di Kampung Air, di sini, hari ini.

Katanya lagi, disebabkan sukar untuk mengharungi keadaan ketika wabak koronavirus (Covid-19) sedang menular, peniaga harus menggunakan inisiatif lain untuk berniaga dengan mengikut SOP yang digariskan kerajaan.

"Selain membuka premis kami juga menjalankan perniagaan secara dalam talian (online) dan membuat promosi dengan kerap untuk menarik lebih ramai pelanggan.

"Untuk dalam premis, kami harus patuh pada SOP dengan mencatat nama dan membuat pemeriksaan suhu pelanggan, harus memakai pelitup muka serta hanya membenarkan dua pelanggan yang masuk ke dalam premis dalam satu-satu masa berikutan ruang premis yang kecil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nurul memastikan pelanggan mengikut SOP ketika berkunjung ke premisnya di Kampung Air, Kota Kinabalu.
Nurul memastikan pelanggan mengikut SOP ketika berkunjung ke premisnya di Kampung Air, Kota Kinabalu.

Seorang lagi pengusaha kedai bunga, Yusnadi Moidi, 27, berkata, sukar untuk mereka menjalankan perniagaan ketika ini kerana orang ramai sudah mulai duduk rumah sejak PKPB dilaksanakan di Kota Kinabalu.

"Buka atau tidak kedai, sama saja kerana orang ramai tidak keluar waktu ini.

"Tetapi disebabkan saya menjual pokok bunga hidup dan memerlukan penjagaan, saya terpaksa buka untuk memastikan bunga yang dijual sentiasa terjaga dan hidup," katanya.

Yusnadi berkata, premisnya itu beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 5 petang dan pada Sabtu serta Ahad dia membuat penghantaran dari rumah ke rumah.

"Kita lihat orang ramai kini lebih gemar membeli barang secara online (dalam talian) dan menerusi perkhidmatan penghantaran. Jadi saya cuba usahakan pada setiap Sabtu dan Ahad untuk buat penghantaran pokok bunga yang dibeli pelanggan," katanya.

Premis Yusnadi terletak di Kampung Air baru beroperasi kira-kira enam bulan lalu dan terpaksa ditutup sejak seminggu lalu selepas Kota Kinabalu dikuatkuasakan PKPB kerana dikategorikan zon merah.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan, kerajaan negeri banyak menerima pertanyaan daripada orang awam kerana terdapat kekeliruan berhubung kebenaran beroperasi bagi semua sektor ekonomi, industri dan perniagaan.

Kekeliruan timbul kerana SOP PKPB yang dikeluarkan bagi daerah-daerah dalam zon merah sebelum ini hanya membenarkan perkhidmatan perlu (essential service) sahaja namun sejak PKPB dilaksanakan di seluruh Sabah, semua pengusaha kini diminta mengikut SOP terbaharu dikeluarkan MKN pada Rabu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!