Sultan Selangor, Tengku Permaisuri jalani saringan Covid-19
SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melakukan ujian saringan koronavirus (Covid-19) pada 7 Oktober lalu.
Selain baginda, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan melakukan ujian saringan tersebut walaupun tidak mempunyai kontak rapat dengan mana-mana individu berisiko.
Melalui perkongsian di laman Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin turut menitahkan kakitangan Pejabat Sultan Selangor melibatkan lebih 100 orang di Istana Bukit Kayangan dan Istana Mestika menjalani ujian saringan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan kes mendadak di Shah Alam serta Klang.
Kenyataan itu turut memberitahu, Orang-orang Besar Istana juga hadir bagi melakukan saringan berkenaan yang dikendalikan oleh petugas dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling bertempat di Istana Bukit Kayangan.
Difahamkan, hasil ujian diperoleh keesokan hari melibatkan semua sampel terlibat adalah negatif.
Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa Rabu lalu hingga 27 Oktober ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!