Neymar selayaknya dilabel ‘badut’

Aksi Neymar (kanan) pada perlawanan berkenaan. - Foto sportdesk.com
Aksi Neymar (kanan) pada perlawanan berkenaan. - Foto sportdesk.com
A
A
A

PERTAHANAN Peru, Carlos Zambrano menyifatkan penyerang Brazil, Neymar selayaknya dilabel sebagai ‘badut’ berikutan aksi yang dipamerkannya ketika berdepan Peru pada aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional de Lima, Peru, 14 Oktober lalu.

Katanya, kelakuan penyerang berkenaan nyata keterlaluan apabila berjaya meraih simpati pengadil bagi memberikan sepakan penalti kepada Brazil pada perlawanan berkenaan yang seterusnya dilihat membantu kemenangan skuad Selecao itu.

"Secara jujur, dia (Neymar) memang seorang pemain yang bagus. Salah seorang pemain terbaik di dunia ketika ini.

“Tetapi bagi saya, dia tidak ubah seperti seorang ‘badut.’ Dia begitu peka dengan apa yang berlaku ketika beraksi di padang tetapi dia juga sering mencari kesilapan-kesilapan kecil daripada pihak lawan, khususnya ketika berada dalam kotak penalti.

“Ketika itu (dalam kotak penalti) dia akan ‘menjatuhkan’ dirinya beberapa kali dengan tujuan untuk mendapatkan penalti dan itulah yang berlaku pada perlawanan ini,” katanya yang turut dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan pada penghujung perlawanan.

Neymar menjaringkan hattrik pada perlawanan berkenaan setelah menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-28 dan 83 sebelum menjaringkan satu lagi gol pada masa kecederaan babak kedua yang menyaksikan Brazil bangkit dua kali setelah ketinggalan akibat jaringan pemain Peru, Andre Carillo seawal minit ke-6 dan Reanto Tapia pada minit ke-59.

Satu lagi gol dijaringkan oleh Richarlison pada minit ke-64 bagi melengkapkan kemenangan 4-2 Brazil.

Jaringan hattrik Neymar pada perlawanan itu sekali gus menyaksikan pemain itu kini merekodkan 64 jaringan bagi mengatasi Ronaldo (62) dan dilihat kian menghampiri rekod jaringan lagenda bola sepak Brazil dan dunia, Pele yang merekodkan 77 gol.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu bekas bintang Brazil Ronaldo menyifatkan Neymar telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.

Menerusi laman instagramnya, Ronaldo menyatakan rasa hormatnya pada Neymar yang baginya bukan sahaja menjaringkan gol pada perlawanan berkenaan, tetapi turut membantu rakan-rakan lain di sepanjang perlawanan.

“Bagi saya Neymar kini seorang pemain yang matang. Saya harap dia akan terus berusaha dan percaya kepada keupayaan serta bakat yang dimiliki.

“Tiada siapa yang boleh mengambil semua itu daripada anda kerana anda masih mempunyai banyak masa selain rekod yang perlu ditandingi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!