KBS rancang 9 Kejohanan e-Sukan
KBS merancang 9 Kejohanan e-Sukan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negara merancang untuk menganjurkan sembilan kejohanan sukan elektronik (e-Sukan), mengikut zon di seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesemua kejohanan berkenaan diharap dapat membantu menyediakan pemain-pemain amatur e-sukan dari negara ini untuk bersaing pada kejohanan-kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Justeru menurut Reezal Merican, kesemua pemain-pemain amatur ini perlu melalui pengalaman bersaing dengan pemain-pemain e-sukan dari negara lagi bagi membantu penyediaan berkenaan.
“Bersaing dalam kejohanan di peringkat antarabangsa adalah medan pertandingan yang diimpikan oleh kesemua pemain e-sukan ini.
“Namun bagi mencapai matlamat itu mereka (pemain amatur) di peringkat akar umbi perlu mengekalkan prestasi yang sempurna dengan menyertai apa juga platform pertandingan sebagai latihan berterusan.
“Oleh itu melalui inisiatif kejohanan MyBorneo ini secara tidak langsung ia memberikan peluang kepada pemain-pemain amatur dari negara ini untuk bersaing dengan pemain-pemain dari negara Brunei Darussalam dan Indonesia yang sekali gus membantu memperluaskan ‘talent pool’ pemain-pemain e-Sukan di negera ini,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.
Rizal Merican berkata demikian ketika berucap bagi menyempurnakan majlis pelancaran Kejohanan MyBorneo E-Force Invitational 2020 di Kota Samarahan, Sarawak yang dilaksanakan secara virtual di Menara KBS, hari ini.
Kejohanan yang bermula mulai 16 Oktober hingga 8 November 2020 itu turut menyediakan empat kategori ‘game title’ seperti Pubg Mobile, Mobile Legends: Bang Bang, Dota 2 dan Moto GP PC.
Seramai 3,000 peserta dari kepulauan Borneo seperti Malaysia, Brunei Darussalan dan Kalimantan Indonesia dijangka disasarkan menyertai kejohanan berkenaan.
Sementara itu Reezal Merican berkata, KBS telah melancarkan projek khas e-Sukan Bersepadu (ESI) mulai 1 Oktober 2020 dalam usaha memastikan pembangunan e-Sukan di negara ini secara inklusif.
Katanya, ESI akan bekerjasama dengan pemegang taruh utama dalam industri e-Sukan ini dengan memberikan penekanan terhadap enam perkara teras melibatkan penubuhan sebuah liga dan kejohanan e-sukan, menganjurkan persidangan e-Sukan, meyokong pembinaan dan pengawal seliaan e-Sukan yang efektif melalui advokasi, menyediakan program pembinaan kapasiti, mewujudkan hub e-Sukan dan membangunkan platform e-Sukan.
“Tumpuan kepada enam perkara teras ini akan membolehkan ESI dapat menaik taraf industri e-Sukan ke tahap yang lebih tinggi.
“Seterusnya ia akan dapat pula memangkinkan ekosistem yang rancak, mapan dan inklusif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!