Kluster baharu dikesan, China jalankan 11 juta ujian Covid-19
ANKARA - China melakukan 11 juta ujian saringan koronavirus (Covid-19) hanya dalam masa lima hari, di bandar di timur Qingdao selepas kes baharu dilaporkan hujung minggu lalu.
Sebanyak 13 kluster jangkitan dikesan di bilik imbasan CT Qingdao Chest Hospital, lapor Agensi Anadolu memetik Global Times.
Pihak berkuasa mendapati bilik itu digunakan untuk pesakit Covid-19 dan pesakit lain, tanpa menjalani proses disinfeksi yang betul.
Kemudahan perubatan itu ditutup sejak Ahad lalu.
Ujian saringan itu bermula pada Isnin dan berakhir pada Jumaat.
Pihak berkuasa mewujudkan lebih 4,000 tempat pengumpulan sampel, dikendalikan lebih 10,000 petugas perubatan.
Sekurang-kurangnya dua pegawai dikenakan tindakan berikutan kemunculan kluster itu.
Presiden hospital Deng Kai dipecat manakala pengarah suruhanjaya kesihatan perbandaran Sui Zhenhua digantung tugas.
Kluster Qingdao mencetuskan kebimbangan berikutan China sudah mengumumkan kejayaan mereka melawan wabak itu bulan lalu.
Sejak jangkitan pertama dilaporkan di Wuhan, wilayah Hubei pada Disember lalu, China sudah melaporkan 85,646 kes termasuk 4,634 kematian dan 80,759 pemulihan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!