PHKL lega kemelut berakhir
KEMELUT status pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur yang dibelenggu beberapa isu akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi lampu hijau kepada Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) untuk terus beroperasi di stadium keramat hoki Kuala Lumpur itu.
Lebih menarik tawaran untuk menduduki ruang premis pejabat di stadium tersebut adalah secara percuma menerusi tiket ‘Bantuan Rumah Sukan DBKL’ dengan kontrak selama setahun bermula 15 September lalu.
Menurut Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, PHKL akan membuat satu majlis perasmian dalam masa terdekat bagi menghargai kerjasama baik daripada DBKL.
“Ini adalah hadiah istimewa untuk PHKL kerana kami dapat menduduki secara percuma, ini yang kami usahakan selama ini. Ia adalah hadiah untuk semua warga hoki Kuala Lumpur.
“Insya-ALLAH dalam tempoh terdekat kami akan melakukan pelancaran pejabat baharu PHKL ini. Terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, DBKL dan Kelab Sukan DBKL,” katanya.
Berita gembira itu hadir selepas beberapa bulan isu tersebut berlarutan termasuk menyaksikan PHKL diminta mengosongkan pejabat pada Jun lalu.
Menyentuh mengenai kontrak setahun: Megat berkata: “Ia adalah SOP biasa DBKL terhadap mana-mana premis milik mereka dengan lanjutan kontrak akan dibincangkan bergantung kepada keadaan premis tersebut.
Dalam pada itu, Megat D Shahriman turut mengesahkan pelancaran Liga Hoki Kuala Lumpur 2020 mungkin sedikit lewat daripada perancangan asal akibat daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Selangor.
“Semuanya kini bergantung kepada jumlah kes wabak Covid-19, kalau kes terus tinggi mungkin saingan bermula sedikit lewat. Apapun sebaik berakhir PKPB ini, PHKL akan memulakan urusan pendaftaran pasukan supaya kami boleh membuat persiapan awal dan mendapat gambaran jumlah pasukan.
“Ia sama juga untuk Liga Hoki Dalam Dewan Kuala Lumpur. Kami mencontohi apa yang dibuat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!