Berebut tulang, rakyat sengsara

No Image Caption
A
A
A

BEBERAPA minggu ini agak mendebarkan. Saya pun berdebar-debar. Entah kenapa tidak tahu. Mungkin episod hangat politik yang sedang diperkatakan di mana-mana. Di media sosial sudah semestinya tidak kalah dengan berbagai teori dan persepsi.

Isu nombor keramat Anwar Ibrahim, tuntutan syarat UMNO jika ingin terus menyokong Perikatan Nasional akan jatuhkah Perikatan Nasional dan siapa pula akan jadi Perdana Menteri serta kemunculan Tengku Razaleigh tiba-tiba, mungkin sebagai penyelamatkah? Semuanya berlegar-legar di media sosial.

Sementara Covid-19 belum lagi reda, bahkan makin meningkat, rakyat jelata mungkin ada yang menderita dan susah serta hilang pendapatan dan ahli politik seperti biasa bertelagah atas dasar agama, bangsa dan negara kononnya, makin memburukkan lagi keadaan.

Di satu lokasi lain pula, dari perkongsian seorang teman menceritakan tentang seorang lelaki yang mungkin juga seorang suami dan bapa datang ke sebuah kompleks awam untuk bertanya kepada pemaju yang sedang mempromosi rumah berharga RM180,000.

“Bang, boleh semak kelayakan saya?” tanya lelaki itu dengan harapan.

“Oh, gaji RM1,200 ya? Jumlah gaji selepas potong KWSP?” tanya pemaju tersebut.

“Saya tak ada KWSP bang,” jawab lelaki tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Eh kenapa tidak ada KWSP?” tanya pemaju itu lagi.

“Saya kontrak bang, erk dah lama,” jawab lelaki tersebut dengan nada tersekat-sekat.

Saya tertanya-tanya juga kenapa ada majikan tidak bayar KWSP? Sepatutnya bayar seperti termaktub dalam Akta KWSP 43(2) di mana walaupun bekerja sambilan.

Ataupun jika tidak ada kontrak, tetapi perkhidmatan masih ditagih majikan, tanggungjawab membayarnya wajib.

Di satu lokasi lain lagi, ada seorang lelaki bujang yang bekerja kontrak melebihi 10 tahun sebagai penolong jurutera dengan gaji tidak seberapa.

“Bang saya layak tak beli rumah PPRT?”

“Oh gaji awak dah lebih, tak boleh,” jawab pemaju.

“Rumah PRIMA?” tanya lelaki tersebut lagi.

“Oh gaji awak tak cukup,” kata pemaju tersebut.

Lelaki itu hanya tersenyum hampa sambil berlalu pergi dengan penuh perasaan hiba. Mungkin sedang memikirkan bagaimana hendak membeli rumah.

Umur pula semakin meningkat dan harga rumah juga tidak pernah turun.

Di dalam satu portal media sebulan yang lalu, Raja Baharin mencadangkan supaya mengikuti sahaja cara Barcelona menangani masalah perumahan iaitu mengambil alih rumah terbengkalai dan sewakan kepada mereka berpendapatan rendah.

Walaupun ada yang tidak setuju terutama pemaju yang rakus, tetapi saya merasakan ini idea terbaik juga. Lagipun memang banyak rumah tidak terjual. Belum dikira lagi rumah kedai yang terbengkalai dan kosong.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan eloklah mengambil perhatian juga. Rumah mampu milik pun kebanyakan sudah menjadi rumah mampu lihat sahaja.

Seeloknya kerajaan sahaja yang memberi pinjaman kepada rakyat dan bukan bank. Maknanya perjanjian sewa beli dengan kerajaan di bawah pentadbiran perbadanan atau majlis seperti dulu-dulu. Dan tidak perlu lagi memohon pembiayaan bank yang penuh dengan terma mengelirukan.

Dan lebih baik lagi demi rakyat jelata, bina rumah dan beri sahaja secara percuma seperti yang dilakukan oleh Muammar Gaddafi.

Namun begitu, di satu lokasi lain di sebuah negara dinaungi oleh Bani Keturah, ahli politik seperti anjing berebut tulang pula.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!