1kg syabu dalam plastik serbuk teh
SUBANG JAYA - Kehidupan mewah seorang penganggur akhirnya terbongkar selepas ditahan bersama dadah bernilai RM45,000 di kawasan parkir SS15 di sini Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, suspek berusia 31 tahun itu yang dipercayai dalam perjalanan untuk mengedar dadah berkenaan ditahan sepasukan anggota JSJN Selangor kira-kira jam 6 petang.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan pacuan empat roda Hummer itu menemui satu bungkusan teh serbuk disyaki berisi dadah jenis syabu seberat 1.04 kilogram.
"Dadah itu dipercayai diperoleh suspek daripada seorang lelaki di negeri pantai timur semenanjung dan usaha memburu pembekal dadah sedang giat dijalankan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek aktif sejak setahun lalu di sekitar Lembah Klang dan bergerak secara sendirian.
"Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Rabu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!