Empat pelanggan,pemilik restoran kena kompaun
LIPIS - [DIKEMASKINI] Kedegilan empat pelanggan lelaki yang tidak mendaftar masuk ke dalam sebuah restoran dan memeriksa suhu badan serta menggunakan cecair pembasmi kuman mengakibatkan mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, empat lelaki berusia di antara 17 hingga 23 tahun itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 ketika operasi pemantauan Ops Covid-19 sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah tersebut.
Menurutnya, dalam operasi kira-kira jam 12.25 tengah malam tadi itu, turut dikenakan kompaun RM1,000 ialah seorang wanita berusia 49 tahun yang juga pemilik restoran berkenaan kerana gagal memastikan pelanggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan koronavirus (Covid-19).
Beliau berkata, mereka mengambil mudah dan bersikap sambil lewa dengan SOP yang ditetapkan.
"Pelanggan terbabit memberitahu mereka mengharapkan rakan menulis nama selain ada yang memasuki restoran dari laluan keluar sedangkan buku catatan berada di laluan masuk premis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut meminta pemilik premis tidak leka dan memastikan pelanggan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!