Polis cedera diserang dengan sabit
PORT DICKSON - Seorang anggota polis cedera pada bahagian kepala selepas diserang seorang lelaki warga emas menggunakan sabit di tapak kendera saji di sebuah pasar raya di PD Waterfront malam tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ketika kejadian jam 10.09 malam itu, anggota lelaki berusia 35 tahun berkenaan cuba menahan suspek selepas menerima maklumat daripada orang awam yang suspek bersenjatakan sabit melakukan kacau ganggu di lokasi itu.
"Anggota ronda dari Balai Port Dickson dibantu unit peronda polis bersama pegawai pergi ke tempat kejadian, namun suspek yang menyedari kehadiran polis melarikan diri ke kawasan semak berhampiran lokasi," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, suspek yang melihat polis turun dari kenderaan bertindak berlari ke arah anggota bertugas dan cuba menyerang.
"Suspek masih berdegil dan untuk mempertahankan diri satu das tembakan lagi terpaksa dilepaskan.
"Ketika itu suspek menghayun sabit ke arah mangsa dan terkena pada bahagian kepala sebelah kirinya sebelum berlaku pergelutan. Suspek pula cedera pada bahagian perut," katanya.
Aidi Sham berkata, suspek kemudian ditahan dan kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan.
"Mangsa berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani satu lagi pembedahan esok.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!