Polis kesan lebih 80,000 akaun keldai

Lebih 80,000 akaun keldai digunakan ahli sindiket penipuan dalam talian yang dikesan dari 1 Januari 2019 hingga 9 Oktober lalu. - Foto 123RF
Lebih 80,000 akaun keldai digunakan ahli sindiket penipuan dalam talian yang dikesan dari 1 Januari 2019 hingga 9 Oktober lalu. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 80,000 akaun keldai digunakan ahli sindiket penipuan dalam talian yang dikesan dari 1 Januari 2019 hingga 9 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata, akaun keldai merujuk kepada akaun yang dibenarkan individu atau diberikan pemiliknya kepada sindiket keldai akaun untuk pihak ketiga tanpa mengetahui tujuan sebenar penggunaan akaun itu.

Menurut beliau, ahli sindiket memperdaya mangsa hingga sanggup 'meminjamkan' kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi.

“Modus operandi sindiket ini untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau ditawarkan melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

“Antara alasan yang digunakan ialah untuk tujuan perniagaan dan sebagainya yang sasaran mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan seperti penagih dadah, suri rumah dan pelajar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dalam kes tertentu ada juga individu yang membuat pinjaman wang daripada along yang kemudiannya diarahkan untuk memberikan kad ATM dan nombor pin sebagai syarat untuk pembayaran semula.

Zainuddin berkata, pada tahun lalu sebanyak 18,130 akaun keldai disita dan dibekukan manakala tahun ini sehingga 9 Oktober lalu sebanyak 16,429 akaun juga diambil tindakan sama.

"Seramai 6,409 pemilik akaun itu didakwa pada tahun lepas dan seramai 3,176 orang dituduh setakat 9 Oktober tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki harta curi," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pemilik akaun ini tidak menyedari akaun mereka digunakan sindiket namun ada antara mereka yang sengaja memberikan nombor akaun untuk tujuan penipuan dalam talian.

Zainuddin berkata, perkara itu jelas melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak bekerjasama dengan sindiket penipuan dalam talian ini dan sengaja memberikan nombor akaun mereka. Jika melihat ada transaksi yang mencurigakan, cepat-cepat buat laporan supaya tindakan segara boleh diambil,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan institusi kewangan dan telekomunikasi serta penguat kuasa luar negara bagi membanteras dan mencari penyelesaian terbaik untuk kes-kes komersial khususnya jenayah siber.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa membuat rujukan dengan bank berkaitan, serta portal kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu ccid.rmp.gov.my/semakmule atau laman sosial rasmi PDRM. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!