UMNO cadang Muafakat Nasional didaftar sebagai organisasi politik
SHAH ALAM - UMNO mencadangkan Muafakat Nasional didaftarkan sebagai sebuah organisasi politik yang sah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu telah dikemukakan menerusi mesyuarat Biro Politik Majlis Kerja Tertinggi parti itu.
Katanya, MN berjaya menyatukan ummah yang berbalah lebih 60 tahun.
"Genggaman erat penyokong, pendokong dan pemimpin UMNO dan Pas jangan dilepaskan.
"Kita akan terus memperkukuh MN (Muafakat Nasional)," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi beliau hari ini.
MN merupakan gagasan kerjasama antara UMNO dan Pas sebelum disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ogos lalu.
Selasa lalu, UMNO dalam mesyuarat Biro Politik parti itu meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam ciapan berasingan selepas itu, Ahmad Maslan mengulangi pendirian UMNO enggan menjalinkan hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ramai pimpinan UMNO, saya selaku Setiausaha Agung dan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap berpegang teguh kepada pendirian keputusan Mesyuarat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO sebelum ini," katanya.
Jelas beliau, ia juga membabitkan keputusan untuk memperkukuhkan Barisan Nasional (BN), memantapkan MN dan tiada DAP dalam kerjasama politik mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!