UMNO-Pas kekal muafakat
SHAH ALAM - UMNO dan Pas terus kekal muafakat walaupun apa jua tohmahan dan fitnah yang cuba dilontarkan untuk menggagalkannya.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, komitmen itu disuarakan dalam pertemuan antara pimpinan tertinggi kedua-dua parti itu.
Katanya, beliau mengiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertemu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Alhamdulillah pertemuan yang berlangsung selama hampir dua jam penuh dengan semangat ukhuwah dan mahabbah.
"Kedua-dua pimpinan tertinggi ini turut berkongsi citra dan semangat untuk terus memastikan Muafakat UMNO-Pas dipertahan dan diperkasakan," katanya menerusi hantaran terbaharu di Facebook beliau sebentar tadi.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu, Abdul Hadi turut menyuarakan harapan beliau terhadap gagasan kerjasama yang dibentuk bersama UMNO itu.
"Antara kata-kata Tuan Guru yang begitu membekas di jiwa saya, 'UMNO dan Pas adalah tunjang kekuatan orang Melayu dan Islam. Kita kena pastikan tunjang ini terus diperkuatkan demi rakyat dan Ummah!'," katanya.
Hantaran itu turut disertakan sekeping gambar pertemuan berkenaan yang turut disertai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan di mana perjumpaan itu diadakan.
UMNO sebelum ini terpalit kontroversi apabila ada pimpinan parti itu mengeluarkan kenyataan UMNO bersedia memberi kerjasama kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!