Lebih 50 banduan positif Covid-19 tunjuk tanda untuk sembuh

Lebih 50 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang disahkan positif Covid-19 menunjukkan perkembangan positif.
Lebih 50 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang disahkan positif Covid-19 menunjukkan perkembangan positif.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih 50 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) mula menunjukkan perkembangan baik dan telah diasingkan dengan banduan lain yang belum sembuh.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua banduan tersebut menunjukkan tanda untuk sembuh daripada jangkitan virus itu.

Menurutnya, mereka juga tidak lagi menunjukkan gejala jangkitan dan kini ditempatkan di blok khas.

"Mereka yang menunjukkan perkembangan positif ditempatkan di zon hijau iaitu dalam blok khas sementara itu banduan yang masih positif ditempatkan di pusat rawatan dalam penjara. Mereka kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Jusoh mengesahkan 27 banduan yang disahkan positif semalam ialah mereka yang tinggal di dalam blok sama dengan kumpulan pertama banduan yang dijangkiti sebelum ini.

Mengulas mengenai bekalan makanan di kuarters penjara itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Mohamed Jusoh berkata, bekalan mencukupi dengan sumbangan pelbagai pihak.

Sehingga semalam, Kluster Penjara Reman merekodkan 217 kes positif Covid-19 dengan satu kematian manakala Kluster Penjara Jawi mencatatkan 28 kes.

Artikel Berkaitan:

Penjara Seberang Perai di Jawi mencatatkan 28 banduan positif Covid-19.
Penjara Seberang Perai di Jawi mencatatkan 28 banduan positif Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, seramai 19 banduan yang disahkan positif di Penjara Seberang Perai, Jawi sebelum ini pernah tinggal di blok sama dengan banduan yang disahkan positif.

"Sehingga semalam, seramai 28 banduan di Penjara Seberang Perai disahkan positif dan mereka merupakan banduan yang baru masuk ke situ iaitu antara dua hingga tiga minggu lalu.

"Mereka tidak bercampur dengan banduan lama yang berada di blok lain. Bagaimanapun, mereka berada dalam keadaan stabil dan dirawat di dalam penjara. Selain itu, proses ujian saringan masih dijalankan terhadap banduan baru yang tinggal di blok sama dengan mereka yang positif," katanya.

Sehingga semalam, Pulau Pinang mempunyai dua kluster utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Jawi menjadikan kedua-duanya penjara ketiga dan keempat di negara ini yang dijangkiti Covid-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Star di Kedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!