Hospital sementara dibuka dalam Penjara Pokok Sena
KUALA LUMPUR - Sebuah hospital sementara dibuka dalam Penjara Pokok Sena, Kedah bagi merawat pesakit Covid-19 termasuk menempatkan pesakit dari penjara di sekitar Kedah.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata dua blok bangunan bengkel sedia ada dalam kawasan penjara itu sedang ditukar fungsi untuk dijadikan kemudahan sementara bagi tujuan berkenaan.
"Ia termasuk (mereka) yang memerlukan bantuan oksigen, selain mampu menempatkan sehingga 250 orang jika perlu. Kemudahan ini juga boleh menempatkan pesakit dari penjara-penjara di sekitar Kedah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Memperincikan lanjut, Dr Adham berkata, hospital sementara yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Selasa ini lengkap dengan kemudahan kategori tiga dan kategori empat iaitu mempunyai kemudahan unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit yang memerlukan bantuan oksigen sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Hospital berkenaan hasil kerjasama strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas kejayaan mewujudkan hospital medan di Tawau, Sabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!