Modal RM500 tapi tertipu sampai rugi RM23,836
KEPALA BATAS - Seorang pekerja kilang mengalami kerugian RM23,836 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud sejak awal bulan ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 26 tahun itu membuat laporan selepas menyedari dirinya ditipu, semalam.
Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan pelaburan di dalam media sosial Instagram yang menawarkan pulangan wang tinggi dalam tempoh 48 jam dengan hanya bermodalkan RM500.
"Mangsa dikatakan ditawarkan pulangan wang sebanyak 20 kali ganda dalam tempoh tersebut. Dia yang berminat dengan konsep pulangan wang yang tinggi itu terus memasukkan sejumlah wang untuk mendapatkan pulangan berganda.
"Bagaimanapun, mangsa tidak pernah menandatangani sebarang dokumen perjanjian dan tidak pernah bersemuka dengan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa hanya sedar ditipu apabila diminta untuk membayar wang tambahan kononnya untuk pembayaran cukai syarikat.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!