Petugas KKM redah laut jejak pesakit Covid-19
KOTA KINABALU - Usaha petugas barisan hadapan untuk melawan pandemik koronavirus (Covid-19) di Sabah tidak dapat disangkal apabila mereka sanggup membelah lautan untuk mencari komuniti di perkampungan atas air yang mungkin disyaki dijangkiti virus berkenaan.
Hari ini, sepasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) menaiki bot selama kira-kira 20 minit untuk ke Kampung Lok Urai yang terletak di Pulau Gaya tidak jauh dari pusat bandar raya Kota Kinabalu.
Sebaik tiba kira-kira jam 11 pagi di jeti berkenaan, penulis mendapati empat petugas dilihat membawa beberapa kotak dipercayai peralatan untuk kegunaan ujian calitan kepada individu yang disyaki dijangkiti Covid-19.
Sasaran mereka kali ini adalah dua rumah di perkampungan atas air yang didiami seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dan sebuah lagi rumah didiami empat sekeluarga untuk ujian calitan bagi saringan Covid-19 di kawasan itu.
Setiap individu yang dikenakan ujian calitan itu diwajibkan memakai gelang merah jambu dan perlu menjalani kuarantin sebelum menerima keputusan yang mengambil masa beberapa hari sama ada positif Covid-19 atau sebaliknya.
Penugasan di perkampungan atas air itu dilakukan selama kira-kira satu jam sebelum hasil saringan dibawa dengan menaiki bot untuk diuji di makmal.
Sepanjang melakukan ujian itu, penulis mendapati petugas KKM dilihat sangat menitik beratkan keselamatan mereka sendiri selain lengkap memakai PPE mereka juga sentiasa melakukan sanitasi pada kotak yang mengandungi kit ujian calitan bagi mengelak daripada berlakunya rebakan virus.
Selain itu, petugas KKM perlu berhati-hati sepanjang perjalanan menuju ke rumah individu yang dijalankan ujian calitan kerana perlu melalui laluan jambatan kayu yang menghubungkan rumah penduduk di perkampungan air itu.
Tugasan mereka kemudian hanya selesai kira-kira jam 12 tengah hari sebelum menaiki semula bot untuk ke pusat bandar Kota Kinabalu.
Terdahulu, Kota Kinabalu antara daerah yang mencatat kes positif Covid-19 tertinggi di Sabah dengan laporan kes harian menjangkau sehingga lebih 50 kes setiap hari.
Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan Kota Kinabalu mencatat sebanyak 114 kes dan pada hari sebelumnya sebanyak 58 kes direkodkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!