Guan Eng malu apa nak jawab, soal Najib
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengelak untuk mendedahkan mana-mana laporan yang menyebut kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya RM30 bilion seperti didakwa PH.
Katanya, PH sebelum ini berkali-kali menegaskan kos RM55 bilion adalah harga atas pasaran dan menuduh ia sebagai rasuah atau penipuan untuk menutup 1MDB.
"Mereka boleh berkali-kali tuduh kos RM55 bilion ialah di atas harga pasaran dan menuduh ini rasuah atau penipuan untuk tutup 1MDB tetapi mereka tak dapat dedahkan satu cebis bukti pun.
"Saya pernah tanya PH sekurang-kurangnya 10 kali tetapi satu kali pun mereka tidak dapat jawab. Buat-buat tak nampak, wartawan tanya Guan Eng elak lagi, malu apa untuk jawab?" soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan pentadbirannya telah menerima tawaran membinan ECRL dengan kos serendah RM10 bilion.
Jelasnya, ada syarikat dari China dan tempatan yang menyatakan mereka boleh membina ECRL dengan kos tersebut dan bukan RM55 bilion.
Beliau berkata, adalah tidak wajar jika kerajaan tidak menerimanya dan perbincangan dengan pihak tersebut perlu dilakukan sekiranya ada kemungkinan untuk mengurangkan kos daripada RM55 bilion kepada RM10 bilion.
"Membayar RM55 bilion untuk sesuatu yang anggaran kos paling tingginya hanya mencecah RM30 bilion tidak baik untuk kedudukan kewangan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!