Tiga buruh binaan maut kereta rempuh pokok kelapa sawit

Anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan kesemua mangsa dalam kenderaan.- Foto Ihsan JBPM Perak
Anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan kesemua mangsa dalam kenderaan.- Foto Ihsan JBPM Perak
A
A
A

BATU GAJAH - Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh pokok kelapa sawit di Batu 26, Jalan Tanjung Tualang di sini.

Nahas kira-kira jam 6.50 petang itu menyebabkan pemandu Perodua Kelisa, Tan Chee Chuan, 52, dan penumpang hadapan, Khor Han Chor, 46, maut semalam.

Mangsa ketiga iaitu lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Belayet, 52, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 2.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan itu menaiki sebuah kereta dari arah Kampung Gajah menghala ke Tanjung Tualang.

Perodua Kelisa yang dinaiki tiga mangsa remuk dibahagian hadapan akibat melanggar pokok di Batu Gajah, semalam. - Foto PDRM
Perodua Kelisa yang dinaiki tiga mangsa remuk dibahagian hadapan akibat melanggar pokok di Batu Gajah, semalam. - Foto PDRM

“Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok kelapa sawit di sebelah kiri jalan.

“Semua mangsa yang cedera parah dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan pasukan bomba namun penumpang hadapan disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta pula meninggal dunia di Hospital Batu Gajah,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas sehingga melanggar pokok.

Artikel Berkaitan:

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!