Beberapa pemimpin UMNO nafi beri sokongan kepada Anwar

Beberapa pemimpin UMNO dalam reaksi mereka menafikan dakwaan memberi sokongan kepada Anwar.
Beberapa pemimpin UMNO dalam reaksi mereka menafikan dakwaan memberi sokongan kepada Anwar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Surat yang tular di media sosial, kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan dan kepercayaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu sejak tengah hari tadi, disahkan palsu.

Pejabat Presiden UMNO hari ini menegaskan bahawa ia tidak pernah mengeluarkan surat yang didakwa dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan menjelaskan beliau dan pegawai Pejabat Presiden UMNO sering bertanggungjawab menyediakan segala surat menyurat dan ‘letter head’ tidak pernah dikeluarkan tanpa nombor rujukan.

“Penyebaran surat rasmi berkenaan sangat melampau dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan dan berniat jahat bertujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak tengah hari, tular mesej dokumen format mudah alih “Surat UMNO kpd Agong.pdf” memaparkan surat yang didakwa ditandatangani Presiden UMNO berhubung pendirian Ahli Parlimen UMNO memberi sokongan dan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Surat bertarikh 11 Oktober, yang kononnya ditandatangani Ahmad Zahid dan disaksikan serta disokong Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Penasihat Barisan Nasional itu, antara lain bagi mengesahkan bahawa Ahmad Zahid bersama Najib dan sejumlah Ahli Parlimen UMNO telah menarik balik sokongan dan kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan memberi sokongan kepada Anwar.

Beberapa pemimpin UMNO dalam reaksi mereka menafikan dakwaan memberi sokongan kepada Anwar.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Luar menerusi akaun Twitter menulis, "Seperti @DrZahidHamidi sebut sebelum ini, beliau tidak boleh halang MP sokong Anwar. Tetapi jika surat yang tular hari ini benar, saya tidak dimaklumkan & ia BUKAN pendirian saya sebagai MP UMNO. Saya mahu nyatakan dengan jelas, saya TIDAK sokong Anwar sebagai PM. Saya konsisten - NO ANWAR NO DAP.”

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen, Rembau Khairy Jamaluddin, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, menafikan pernah menyatakan sokongannya kepada Anwar.

“Jika surat itu benar, saya ingin menyatakan secara tegas bahawa pendirian presiden parti tidak mewakili suara saya. Saya tidak menyatakan sokongan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Saya harap Ahli Parlimen UMNO lain akan menyatakan pendirian mereka dengan jelas. Mari kita lihat siapa yang ada angka,” katanya dipetik menerusi laman Instagramnya hari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!