103 tukun tiruan ditempatkan di tiga perairan Pahang
KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang sudah menempatkan sebanyak 103 tukun tiruan di perairan Kuantan, Rompin dan Pekan dalam tempoh lima tahun bermula 2010.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, tiga jenis jenis tukun digunakan iaitu kuboid, rekreasi dan kiub juvenil yang ditempatkan di perairan di Pahang sebagai usaha memulihara tempat pembiakan habitat laut.
"Kita mahu menempatkan lebih banyak tukun tiruan di perairan di negeri ini dalam usaha menambahkan sumber laut.
"Kalau boleh, kita mahu melihat Pahang menjadi antara pengeluar utama sumber perikanan di negara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Dua hari lalu, pihaknya telah menempatkan 16 unit tukun tiruan konkrit jenis kuboid yang dianggarkan berharga RM400,000 di perairan Nenasi, Pekan.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Abdullah berkata, tukun tiruan seberat lima tan berbentuk kuboid berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning dan kembung selain udang dan sotong.
Beliau berkata, penempatan tukun ini dilakukan bagi membantu meningkatkan sosioekonomi khususnya komuniti nelayan setempat untuk memperoleh pendapatan lumayan kelak.
Katanya, selain itu ia juga dapat memajukan lagi sektor pelancongan menerusi aktiviti memancing yang begitu terkenal di daerah ini.
"Kajian dilakukan mendapati pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin lain akan menjadikan tukun berkenaan habitat baharu selepas enam bulan tukun tiruan ditempatkan di kawasan terbabit.
"Selain dijadikan tempat pembiakan pelbagai jenis ikan, tukun tiruan konkrit ini turut berfungsi sebagai penghalang atau penyekat aktiviti nelayan pukat tunda yang sebelum ini banyak dilaporkan di perairan negeri ini," katanya.
Beliau berkata, pukat tunda yang tersangkut pada tukun akan pecah manakala tali penarik turut putus kerana tidak mampu menarik tukun tiruan yang dibina seberat lima tan.
"Kita yakin selepas ini aktiviti pukat tunda membabitkan nelayan asing di kawasan terbabit dapat diatasi, tukun tiruan seolah serampang dua mata buat nelayan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!