Pergolakan politik Bersatu, UMNO libatkan pemimpin 'ruling elite'
KUANTAN - Pergolakan politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO hanya melibatkan 'ruling elite' atau pembuat keputusan dalam UMNO, bukan mencerminkan pendirian majoriti ahli Parlimen daripada parti itu.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Shahrir Wan Abd Jalil berkata, kebanyakan 'ruling elite' itu melibatkan pemimpin-pemimpin seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid; Bendahari UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Najib Tun Razak yang boleh menentukan hubungan antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN).
"Pada pandangan saya, di sini UMNO seolah-olah telah berpecah... ada golongan, terutama yang menjawat jawatan dalam Kabinet dan agensi berkaitan kerajaan mungkin terasa agak kurang senang apabila ada pihak yang 'rock the boat' ini.
"Walaupun UMNO merasakan mereka paling kuat dengan grassroot (akar umbi) dan jentera yang licin, mereka tidak boleh lupa bahawa asalnya mereka pembangkang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Semalam, penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berpandangan, Bersatu tiada pilihan kecuali terpaksa bergantung kepada UMNO yang mempunyai kerusi lebih banyak dalam kerajaan PN.
Beliau juga menyifatkan UMNO lebih kuat dengan memiliki jentera akar umbi di setiap pelosok kampung berbanding Bersatu.
Sementara itu, Wan Shahrir berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi nafas baharu kepada mereka untuk bersama-sama menjadi kerajaan walaupun hakikatnya mereka sudah ditolak rakyat.
"Adakah mereka wajar menuntut jawatan-jawatan penting jika mereka bermula dengan kosong dalam gabungan baharu ini. Soal runding semula isu kes mereka, Muhyiddin tidak pernah bersetuju untuk berkompromi soal mahkamah.
"Biar mahkamah yang menentukan hal mahkamah, sesuai dengan semangat pengasingan kuasa antara pembuat undang-undang eksekutif dan kehakiman. Ini yang rakyat inginkan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan parti terbesar Melayu sebenarnya akan mencalar imej UMNO yang kononnya parti keramat, berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Jelasnya, rakyat akan memandang UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri saja apatah lagi jika gabungan baharu itu nanti turut melibatkan DAP.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!