Keputusan saringan keluarga petugas penjara diperoleh Selasa ini
GEORGETOWN - Semua ahli keluarga petugas Penjara Reman Pulau Pinang yang tinggal di kuarters sudah selesai menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) semalam.
Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail berkata, keputusan pertama dijangka akan diperoleh Selasa ini.
Menurutnya, semua kes baharu hanya melibatkan banduan dan keadaan terkawal selepas proses pengasingan dilakukan.
"Setakat ini jumlah yang positif virus itu tidak berubah. Mereka yang dijangkiti juga menunjukkan perkembangan yang baik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, lebih 50 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang disahkan positif Covid-19 menunjukkan tanda untuk sembuh daripada jangkitan selain tidak lagi menunjukkan mempunyai gejala dan kini ditempatkan di blok khas.
Sementara itu, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, walaupun berlaku peningkatan sehingga 160 kes baharu di penjara itu, prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan pada waktu ini memadai untuk menangani perkara itu.
Tambahnya, setakat ini, kemudahan di penjara itu juga mencukupi untuk menampung peningkatan kes.
"Ruang pengasingan dan rawatan di dalam penjara reman lebih daripada cukup untuk masa ini.
Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Khamis lalu setelah kes aktif dalam kalangan banduan dilaporkan terus meningkat.
Sehingga kini, Kluster Penjara Reman telah mencatatkan 377 kes positif Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!