Musim MU baru bermula: Solskjaer
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyifatkan musim ini baru bermula buat pasukannya selepas menewaskan Newcastle United 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James Park, awal pagi tadi.
Menurutnya, The Red Devils baru sahaja mencapai tahap dan kualiti yang sepatutnya sekali gus menandakan kebangkitan pasukan itu dalam saingan EPL.
"Sebelum ini kami terkesan dengan tempoh persiapan yang singkat sebelum liga bermula. Namun, pada perlawanan ini pemain telah menunjukkan mereka sudah bersedia.
"Kami tak mahu menggunakannya sebagai alasan, tapi memang pramusim yang singkat memberikan kami banyak masalah. Tetapi sekarang kami tahu musim kami bermula hari ini.
"Saya nampak pemain sudah mencapai tahap dan kualiti yang sebenar diperlukan dalam perlawanan. Mereka bermain dengan sangat baik dan sedar akan ada banyak lagi perlawanan sukar selepas ini.
"Saya merehatkan beberapa pemain utama hari ini, kemudian saya memasukkan mereka sebagai pemain gantian dan mereka buat perbezaan besar," katanya.
Dalam perlawanan itu, United terlebih dahulu ketinggalan selepas pemain pertahanannya, Luke Shaw menjaringkan gol sendiri pada minit kedua.
Namun, The Red Devils bangkit menerusi gol Harry Maguire pada minit ke-23, Bruno Fernandes (86), Aaron Wan-Bissaka (90) dan Marcus Rashford (95).
Dalam pada itu, kapten United, Maguire menyifatkan perjalanan pasukan itu masih jauh dan tidak mahu terlalu berpuas hati dengan kemenangan tersebut.
"Saya tidak mahu katakan bahawa kami telah menjawab kritikan yang dilemparkan kepada kami. Ia kelakar, tiga perlawanan permulaan liga yang kami lalui sebelum ini dilihat seperti krisis besar. Kami bukan beraksi buruk, malah jika termasuk perlawanan malam ini,kami menang dua dan kalah dua perlawanan sahaja.
"Namun, kekalahan itu mengajar kami. Semua pemain berlatih dengan kuat dan tampil lebih baik pada hari ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!