Lindungi salah laku polis, tindakan tegas dikenakan
JOHOR BAHRU - Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pegawai atasan polis yang melindungi salah laku anggota bawahan mereka sehingga mencemar imej polis.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pegawai polis yang pilih kasih kepada mana- mana anggota yang rapat dengan tidak mengambil tindakan terhadap mereka juga diberi amaran di mana tindakan tegas akan dikenakan.
“Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen( IPK) Johor telah membongkar kes-kes salah laku di daerah sejak kebelakangan ini. Ketua Polis Daerah jangan sesekali menyalahgunakan kuasa dengan melindungi salah laku tersebut.
"Ketua jenis ini hanya masa yang akan menentukan tindakan, tunggu dan lihat,” katanya ketika berucap semasa Majlis Perhimpunan Bulanan IPK Johor, di sini, hari ini.
Tambah Ayob Khan, sebanyak 21 pertuduhan di mahkamah melibatkan pegawai dan anggotanya direkodkan sejak beliau ditugaskan di Johor pada 24 Februari lalu.
“Lima daripadanya kes dadah, enam kes jenayah, tujuh kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), satu kes salah laku dan dua kesalahan trafik," katanya.
Menurut beliau, Polis Johor sentiasa komited memastikan perbatasan negara dari sebarang pencerobohan dan jenayah rentas sempadan termasuk meningkatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Perintah Pergerakan ( PKPP).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!