Asrama Kompleks Sukan Sandakan kini pusat rawatan Covid-19

Asrama Kompleks Sukan Sandakan dijadikan pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah.
Asrama Kompleks Sukan Sandakan dijadikan pusat rawatan Covid-19 berisiko rendah.
A
A
A

SANDAKAN - Sabah akan mengoperasikan sebuah lagi pusat rawatan koronavirus (Covid-19) berisiko rendah dengan memanfaatkan asrama Kompleks Sukan Sandakan di sini.

Pengerusi Lembaga Sukan Sabah (SSB) Dr KH Tan berkata, lembaga itu membenarkan penggunaan kemudahan tersebut berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 di daerah ini.

“Asrama ini boleh memuatkan 150 pesakit. Kunci asrama diserahkan kepada Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK), Dr Francis Paul semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asrama itu adalah pusat rawatan keempat selepas HDOK Anjung Kasih yang berkapasiti 36 katil, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) (40 katil), Program Perumahan Rakyat Batu Putih (230 katil) dan Dewan Serba guna Kompleks Sukan Sandakan (200 katil).

Pusat rawatan ini berperanan sebagai wad diperpanjang HDOK untuk pesakit yang stabil selain 100 katil di hospital bagi pesakit berisiko tinggi.

Sementara itu, Dr Francis meluahkan penghargaan terhadap SSB kerana tampil membantu hospital tersebut yang berdepan peningkatan kes aktif secara berterusan dengan angka terbaharu 585 kes setakat semalam.

Beliau turut berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Sandakan serta sukarelawan yang tidak kenal lelah dalam membantu mempersiap asrama berkenaan untuk menerima pesakit bermula petang ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!